JENAYAH & MAHKAMAH

JKDM WPKL Gagalkan Cubaan Seludup Rokok, Arak Bernilai Lebih RM11 Juta

05/11/2025 01:27 PM

PETALING JAYA, 5 Nov (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menumpaskan sindiket pengedaran rokok putih dan minuman keras tidak berkastam menerusi dua serbuan berasingan di Shah Alam dan Seri Kembangan, dekat sini, baru-baru ini.

Pengarahnya Wan Norizan Wan Daud berkata keseluruhan rampasan termasuk cukai dianggarkan bernilai lebih RM11 juta.

Beliau berkata dalam serbuan pertama pada 29 Sept lepas, pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM WPKL membongkar aktiviti penyimpanan dan pembekalan rokok putih disyaki tidak berkastam di sebuah gudang persendirian di Jalan Subang Permai, Shah Alam.

“Hasil pemeriksaan menemukan 11.6 juta batang rokok putih import pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam, dengan anggaran nilai RM2.32 juta serta duti dan cukai terlibat sebanyak RM7.89 juta,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam WPKL, hari ini.

Menurut beliau, seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai penjaga stor turut ditahan bagi membantu siasatan.

Wan Norizan berkata pengimportan rokok putih memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia di bawah Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport atau mengeksport barang tak berkastam atau larangan import,” katanya.

Menurut beliau, modus operandi sindiket adalah menyimpan dan mengedarkan rokok tidak berkastam secara pukal di gudang persendirian tanpa sebarang tanda bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Bagi serbuan kedua membabitkan minuman keras, Wan Norizan berkata pihaknya menemukan kegiatan pembekalan dan pengedaran minuman keras tidak berkastam di sebuah gudang persendirian di Taman Prima Tropika, Seri Kembangan, pada 19 Ogos lepas.

“Hasil pemeriksaan menemukan minuman keras import pelbagai jenama disyaki tidak berkastam dengan anggaran kuantiti 5,787 liter, melibatkan nilai dan cukai dianggarkan berjumlah RM921,769,” katanya.

“Tiga lelaki warga asing turut ditahan dalam serbuan itu, manakala sebuah lori lima tan yang disyaki digunakan bagi tujuan pembekalan turut disita,” katanya.

Beliau berkata pengimportan minuman keras juga memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan Ketua Pengarah Kastam Malaysia di bawah Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau larangan import,” katanya sambil menambah bahawa sindiket dipercayai menjalankan pembungkusan semula dan pembekalan secara pukal di kawasan perindustrian serta pembinaan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Wan Norizan turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat bagi membantu JKDM membanteras kegiatan penyeludupan khususnya membabitkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain barangan kawalan.

“Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Orang awam boleh menyalurkan maklumat kepada Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat kastam terdekat. JKDM memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487342