IPOH, 5 Nov (Bernama) -- Institut Integriti Malaysia (IIM) terus memainkan peranan penting dalam memupk nilai integriti dalam kalangan rakyat melalui pelbagai inisiatif baharu yang telah dirancang oleh institusi itu.
Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi IIM Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata antara inisiatif berkenaan ialah pelancaran Modul Integriti Keluarga (MIKe) serta Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE).
"MIKe bertujuan memperkasakan institusi keluarga sebagai benteng utama dalam pembentukan sahsiah dan nilai-nilai murni.
"Elemen nilai-nilai integriti keluarga yang diketengahkan melalui MIKe adalah berteraskan akronim KELUARGA yang membawa maksud Kasih, Empati, Luhur, Usaha, Amanah, Rasional, Gigih dan Adil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian Sambutan Bulan Integriti Nasional (SBIN) 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan perasmian majlis berkenaan yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Shamsul Azri juga berkata SPINE kini dalam proses pelaksanaan bagi mengukur, menilai serta memperkukuh amalan integriti dan tadbir urus dalam sesebuah organisasi.
Beliau berkata inisiatif seperti MIKe dan SPINE jelas mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh budaya integriti bukan sahaja dalam pentadbiran awam tetapi juga institusi kekeluargaan.
"Ia juga sebagai usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang berintegriti tinggi, beramanah dan sejahtera," katanya.
Shamsul Azri berkata Hari Integriti Nasional yang diisytihar oleh kerajaan pada 5 Nov 2005 kini disambut sepanjang Bulan Integriti Nasional, yang menjadi wadah penting untuk memperkukuh budaya integriti dalam kalangan rakyat.
Beliau juga berkata sepanjang SBIN 2025, pelbagai program telah dan akan dilaksana oleh IIM dengan kerjasama strategik pelbagai agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi serta rakan masyarakat MADANI.
Antara program utama yang telah diadakan ialah Debat Perdana Integriti Piala Perdana Menteri yang berlangsung dari 24 hingga 27 Okt lepas di Universiti Utara Malaysia.
"Sebagai kesinambungan kepada pelancaran ini, SBIN 2025 akan diteruskan dengan penganjuran Forum Perdana Islam pada 6 Nov bertempat di Universiti Teknologi MARA Kampus Seri Iskandar, Perak.
"Program seterusnya ialah Khutbah Jumaat sempena sambutan yang bermula pada 7 Nov ini di semua masjid di seluruh negara dengan mengangkat tema “Integriti Tonggak Kepimpinan Islam,” katanya.
Shamsul Azri berkata teks khutbah telah disediakan oleh IIM dan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri untuk diedarkan ke seluruh masjid di Malaysia.
SBIN 2025 menzahirkan komitmen IIM untuk memperkukuh budaya integriti, kejujuran, ketelusan dan akauntabiliti segenap lapisan masyarakat sebagai tunjang kepada pembangunan negara yang sejahtera, berintegriti tinggi serta bebas rasuah.
-- BERNAMA