DUNIA

Algeria Sasar Perkukuh Hubungan Dengan Malaysia, Luas Akses Pasaran

05/11/2025 02:01 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Algeria berhasrat memperkukuh hubungan strategiknya dengan Malaysia ketika kedua-dua negara berusaha memperluas peluang ekonomi dan meneroka pasaran baharu.

Bercakap pada majlis resepsi sempena ulang tahun ke-71 Hari Revolusi Algeria pada Selasa malam, Duta Besar Algeria ke Malaysia Abdelhafid Bounour berkata sambutan itu bukan sahaja memperingati kemerdekaan negara berkenaan, tetapi juga menonjolkan hubungan yang semakin erat dengan Malaysia yang didorong oleh nilai bersama serta pendirian sehaluan dalam isu serantau dan global.

Beliau berkata kedua-dua negara berhasrat memperluas perdagangan dan pelaburan, selain terdapat minat yang semakin meningkat dalam kalangan perniagaan Malaysia dan Algeria untuk meneroka pasaran masing-masing.

“Ia adalah hari yang amat bermakna bagi semua rakyat Algeria kerana kami meraikan Revolusi kami yang memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajahan Perancis. Pada masa yang sama, kami berkongsi sambutan ini dengan Malaysia kerana kedua-dua negara mempunyai banyak persamaan dalam isu antarabangsa dan serantau.

“Hubungan dua hala kami dengan Malaysia adalah cemerlang, jadi kami berusaha untuk terus memperkembangkannya,” katanya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kader menghadiri majlis resepsi itu bagi mewakili kerajaan Malaysia.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), prestasi perdagangan Malaysia dengan Algeria mencatat pertumbuhan kukuh pada 2024, dengan eksport meningkat 27.9 peratus kepada RM552.1 juta, dipacu terutamanya oleh penghantaran minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit yang lebih tinggi.

Eksport halal Malaysia ke Algeria juga mencatat peningkatan kukuh sebanyak 24 peratus kepada RM156.3 juta, diterajui oleh makanan dan minuman, kosmetik, bahan ramuan diperakui halal serta produk berasaskan minyak sawit.

Sementara itu, Zambry turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Algeria sempena sambutan ulang tahun ke-71 Hari Revolusi negara itu.

Beliau berkata sambutan tersebut melambangkan semangat perjuangan dan kemerdekaan rakyat Algeria, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Algeria, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi yang menyaksikan peningkatan pertukaran pelajar serta peluang biasiswa antara kedua-dua negara.

“Dalam sektor pendidikan, Algeria telah menghantar pelajarnya ke Malaysia, dan pada masa yang sama, mereka turut memberi peluang kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di universiti mereka.

“Mereka juga telah menawarkan beberapa biasiswa kepada pelajar Malaysia untuk menyambung pengajian di Algeria,” katanya.

Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi, seramai 47 pelajar Malaysia kini melanjutkan pengajian di Algeria setakat 2024.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487361