Daripada Mohd Ashraf Syafiq Mazlan
RIYADH, 4 Nov (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkongsi pandangan mengenai kepentingan pelaksanaan dasar kerajaan yang konsisten ketika mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah bahawa perbincangan di Istana Al-Yamamah di sini berlangsung dalam suasana penuh mesra dan menyentuh pelbagai perkara berkaitan kepentingan bersama kedua-dua negara.
“Ini merupakan pertemuan julung kali kami berdua dan Putera Mohammed sangat berpengetahuan dalam pelbagai perkara yang telah dibincangkan.
“Saya turut berkongsikan beberapa pandangan saya, terutama berkenaan pentingnya pelaksanaan dasar yang konsisten dalam kerajaan serta perhubungan antarabangsa.
“Dasar yang konsisten akan membawa kestabilan perhubungan dua hala dan memberikan keyakinan untuk menarik pelaburan kepada sesebuah negara,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office selepas pertemuan itu.
Yang di-Pertuan Agong turut memuji Visi 2030 Arab Saudi yang merupakan usaha membangunkan negara itu ke tahap lebih baik dengan kepelbagaian ekonomi, pemerkasaan rakyat serta penyediaan persekitaran yang rancak untuk pelabur.
Terdahulu, Sultan Ibrahim disambut dengan istiadat sambutan negara di Istana Al-Yamamah sempena lawatan negara empat hari ke Arab Saudi yang bermula semalam.
Mengiringi Seri Paduka Baginda dalam lawatan ini ialah Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Arab Saudi merupakan rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM44.74 bilion (USD9.79 bilion).
-- BERNAMA