DUNIA

Sidang Kemuncak Korea Selatan-China Kembalikan Hubungan Ke Landasan Betul

02/11/2025 08:25 PM

SEOUL, 2 Nov (Bernama-Yonhap) -- Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung pada Ahad berkata sidang kemuncaknya baru-baru ini dengan Presiden China Xi Jinping telah membantu memulihkan semula hubungan antara kedua-dua negara ke landasan yang betul, lapor Agensi Berita Yonhap.

Dalam catatan di Facebook yang dimuat naik dalam bahasa Korea dan China, Lee menekankan kepentingan perbincangannya dengan Xi yang diadakan pada Sabtu semasa lawatan pertama pemimpin China itu ke Korea Selatan dalam tempoh 11 tahun.

“Sidang kemuncak Korea Selatan-China amat bermakna kerana ia membantu memulihkan sepenuhnya hubungan dua hala kita dan mengembalikan kita ke landasan kemakmuran bersama sebagai rakan kerjasama strategik,” katanya.

Lee turut memetik kenyataan Xi yang menggambarkan kedua-dua negara sebagai “jiran rapat yang tidak dapat dipisahkan dan rakan kongsi kerjasama yang saling bergantung.”

“Seperti yang dinyatakan Presiden Xi, kedua-dua negara telah melangkaui perbezaan dalam sistem sosial dan ideologi untuk membina kepercayaan sepanjang tempoh yang lama.

“Kita telah berdepan pelbagai cabaran, namun saya yakin bahawa persahabatan mendalam dan sejarah yang telah kita bina bersama tidak pernah goyah,” katanya.

Lee menambah bahawa beliau akan berusaha untuk menghasilkan “keputusan yang nyata” yang dapat dirasai oleh rakyat kedua-dua negara, berasaskan kesepakatan bahawa kesejahteraan rakyat merupakan asas paling penting.

Semasa lawatan Xi, Korea Selatan dan China memperbaharui perjanjian pertukaran mata wang -langkah yang menurut Lee akan membantu menstabilkan pasaran kewangan dan perdagangan antara kedua-dua negara.

Presiden itu juga berikrar untuk terus memperkukuh rangka kerja institusi bagi kerjasama ekonomi dengan mempercepat rundingan perjanjian perdagangan bebas yang merangkumi sektor perkhidmatan dan pelaburan.

Lee berkata beliau berharap dapat melawat China “dalam masa terdekat” bagi membantu mengeratkan lagi hubungan dua negara jiran itu.

-- BERNAMA-YONHAP

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486381