EKONOMI

EXIM Bank Malaysia Sedia Pembiayaan Islam Berjumlah US$70 Juta Kepada Berjaya Okinawa

05/11/2025 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) menyediakan kemudahan Pembiayaan Pelaburan Luar Negara Islam bernilai US$70 juta (US$1=RM4.19) kepada anak syarikat milik penuh Berjaya Land Bhd, Berjaya Okinawa Investment (S) Pte Ltd.

Berjaya Land dalam satu kenyataan hari ini berkata kemudahan pembiayaan tersebut adalah untuk menyokong pembangunan Four Seasons Resort & Private Residences di Okinawa, Jepun (Four Seasons Okinawa).

Menurutnya, Berjaya Okinawa Invest TMK, anak syarikat milik penuh Berjaya Okinawa Investment, akan bertindak sebagai pemaju projek yang bertanggungjawab bagi keseluruhan perancangan dan pembinaan Four Seasons Okinawa.

"Merangkumi kawasan pantai bersih seluas 32 ekar, Four Seasons Okinawa akan menawarkan 279 penginapan mewah, termasuk 127 bilik resort, 124 kondominium mewah dan 28 vila persendirian eksklusif.

"Pembinaan utama sedang dijalankan, dan dijangka siap pada Julai 2027, diikuti fasa pra-pembukaan hotel selama tiga bulan dengan nilai pembangunan kasar diunjurkan sebanyak US$1.12 bilion," katanya.

Perjanjian pembiayaan itu dimeterai oleh ketua pegawai eksekutif Berjaya Land Group, Syed Ali Shahul Hameed, bagi pihak Berjaya Okinawa Investment.

Sementara itu, EXIM Bank berkata projek Four Seasons Okinawa merupakan contoh misi bank itu untuk menonjolkan jejak global Malaysia dan meningkatkan kehadiran perusahaan negara di persada antarabangsa.

“Pada masa depan EXIM Bank akan terus memanfaatkan program pembiayaan strategiknya untuk menyokong pertumbuhan perniagaan Malaysia di luar negara.

“Ini termasuk inisiatif seperti Export Leap Scheme (EXL) bernilai RM500 juta, yang bertujuan untuk meningkatkan pengeksport Malaysia, dan Program Malaysia Global Connect (MGC) Go Export Cover yang menyediakan perlindungan untuk perniagaan berkembang ke pasaran antarabangsa strategik,” katanya.

Kedua-dua skim EXL dan MGC diumumkan di bawah Belanjawan 2026, dan pelaksanaannya dijadualkan pada 2026 untuk mempercepat pelaburan sektor swasta dan meningkatkan kehadiran Malaysia di pasaran bukan tradisional.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487428