AM

Isu Sri Al Afsari: Sekolah Tidak Berdaftar Dengan JAIS, Murid Tidak Layak Duduki UPKK

05/11/2025 04:41 PM

SHAH ALAM, 5 Nov (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan Sekolah Rendah Islam (SRI) Al Afsari di Saujana Putra, dekat sini tidak berdaftar dengan JAIS, sekali gus menyebabkan 80 murid sekolah berkenaan tidak dibenarkan menduduki Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) tahun ini.

Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata peperiksaan UPKK dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), manakala JAIS ialah badan perantara di negeri itu yang tertakluk kepada syarat-syarat menduduki peperiksaan yang ditetapkan oleh JAKIM.

Beliau berkata SRI Al Afsari tidak berdaftar dengan JAIS mengikut ketetapan di bawah Seksyen 12 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Selangor) 1988 (Pindaan 2001).

“Oleh kerana sekolah tidak berdaftar dengan JAIS, maka JAKIM selaku penganjur peperiksaan UPKK telah tidak memberi laluan kepada pelajar sekolah berkenaan bagi menduduki peperiksaan UPKK Sesi Tahun 2025,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan media berhubung 80 murid di sebuah sekolah rendah agama swasta di Puchong, dekat sini tidak dapat menduduki UPKK apabila nama mereka tidak didaftarkan sebagai calon peperiksaan, antara lain disebabkan sekolah berkenaan didapati tidak berdaftar dengan JAIS selaku agensi pelaksana Sistem Pendidikan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) negeri.

Mohd Shahzihan berkata sekolah berkenaan sebelum ini dikenali sebagai SRI Al Fakri dan hanya memperoleh kelulusan penubuhan sementara pada 29 Nov 2012.

Beliau berkata JAIS telah memberi peringatan supaya memohon pendaftaran penuh selepas tempoh sementara tamat, namun permohonan hanya dikemukakan semula oleh SRI Al Afsari pada 21 Dis 2023.

Mohd Shahzihan berkata JAIS akan mempertimbangkan pendaftaran penuh selepas pihak sekolah mematuhi kurikulum serta syarat ditetapkan, termasuk mendapat pengesahan kesihatan dan keselamatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, serta kelulusan kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk penukaran status rumah kedai kepada institusi pendidikan.

“Bagaimanapun, SRI Al Afsari tidak dapat didaftarkan di bawah undang-undang kerana masih tidak mendapat sokongan daripada JBPM dan tiada kelulusan PBT untuk kebenaran merancang,” katanya.

Peperiksaan UPKK dijadual bermula pada 17 hingga 20 Nov ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487448