POLITIK

DAP Umum Senarai Calon PRN Sabah Sabtu Ini

05/11/2025 05:48 PM

SANDAKAN, 5 Nov (Bernama) -- DAP Sabah akan mengumumkan senarai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada Sabtu ini di Kota Kinabalu.

Timbalan Pengerusi DAP Sabah Datuk Chan Foong Hin berkata parti itu sudah bersedia dan yakin dengan kemampuan semua calon yang dipilih untuk mewakili DAP.

Selain itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi berkata pengundi di Sandakan boleh menilai sendiri gerak DAP selama ini di kawasan berkenaan. 

"Saya ada singgah di Pusat Khidmat Komuniti MADANI di sini dan kita lihat dan rasa kewujudan DAP di sini, jadi tidak wujud isu kita kurang yakin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Santuni Pekebun Kecil Sawit di sini hari ini

Mengenai persiapan parti mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Papat yang dimenangi sejak 2018, Chan berkata jentera DAP tetap bersedia meskipun penyandang kerusi tersebut Datuk Frankie Ming Fung keluar parti bersama ahli daripada sembilan cawangan pada bulan lepas.

Tanjung Papat adalah antara enam kerusi DUN yang dimenangi DAP dalam PRN Sabah 2020 selain Luyang, Likas, Kapayan, Elopura dan Sri Tanjong.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala tarikh penamaan pada 15 Nov serta tarikh pengundian awal 25 Nov.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487472