AM

Pencemaran Sungai Johor: Rebat Air Kepada Pengguna Terjejas Dipertimbang - Exco

05/11/2025 06:50 PM

JOHOR BAHRU, 5 Nov (Bernama) -- Kerajaan Johor akan mempertimbangkan pemberian rebat susulan gangguan bekalan air akibat pencemaran Sungai Johor yang telah menjejaskan 292,158 akaun pengguna atau hampir 1.168 juta penduduk di empat daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata sebarang keputusan berhubung perkara itu akan diumumkan kemudian yang dijangka dibuat ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor 13 Nov ini. 

"Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan (pemberian rebat), nantikan pengumumannya," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan negeri mempertimbangkan untuk memberi rebat kepada pengguna yang terjejas di Kota Tinggi, Johor Bahru termasuk Gelang Patah, Kulai dan Pontian.

Mohamad Fazli berkata gangguan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam ini, dengan baki hanya 2,472 akaun pengguna terjejas di Taman Impian Emas, Taman Bukit Impian dan Taman Anggerik Emas di sini.

Sementara itu, beliau berkata Sungai Johor akan digazetkan sebagai kawasan keutamaan sumber air dalam usaha memelihara, sekali gus memastikan isu pencemaran paling teruk pernah terjadi dalam sejarah bekalan sumber air negeri itu tidak berulang.

Beliau berkata sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi memberikan maklum balas dan cadangan kepada kerajaan negeri berhubung langkah berkenaan dan setiap pembangunan di sekitar Sungai Johor serta jajarannya akan turut dikenal pasti.

"Jika digazetkan, aktiviti pembangunan (termasuk perlombongan pasir) akan turut dikawal," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fazli berkata paras kekeruhan air mentah di Lembangan Sungai Johor juga telah berada di paras 500 Unit Kekeruhan Nefelometrik (NTU) dengan paras normal adalah 400 NTU, berbanding 37,400 NTU yang direkodkan ketika kejadian itu berlaku Jumaat lepas.

Beliau berkata pencemaran kali terakhir berlaku pada 2019 di hulu Sungai Sayong di dalam kawasan Sungai Johor akibat tinja ayam dan menyebabkan kekeruhan air mentah kira-kira 5,000 NTU.

Beliau sebelum ini dipetik berkata pencemaran pada Jumaat lepas itu berpunca daripada kolam cucian pasir yang pecah di kawasan perlombongan pasir darat di daerah Kota Tinggi, menyebabkan operasi loji rawatan air terpaksa dihentikan sementara.

Kejadian pencemaran itu turut menjejaskan bekalan mata pencarian lebih 150 nelayan termasuk komuniti Orang Asli di sepanjang hulu Sungai Johor.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487524