Oleh Mohamad Syazwan Mustafa
JOHOR BAHRU, 5 Nov (Bernama) -- Krisis pencemaran Sungai Johor minggu lepas menonjolkan keupayaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menggerakkan teknologi telaga air akuifer batuan sebagai sumber air alternatif untuk pelajar dan komuniti berdekatan.
Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM Prof Dr Edy Tonnizam Mohamad berkata usaha meneroka sumber air bawah tanah bermula pada 2018 bagi memastikan kampus besar itu mempunyai bekalan air yang stabil ketika berlaku gangguan luar jangka.
Beliau berkata penyelidikan diterajui Pusat Geokejuruteraan Tropika (GEOTROPIK) UTM dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan rakan industri bagi mengenal pasti lokasi rekahan batuan yang mempunyai air berkualiti tinggi.
Edy Tonnizam berkata kerja penggalian pada 2021 mengambil masa lima hingga enam bulan sebelum sumber air ditemukan pada kedalaman 158 meter dalam batuan keras.
Pembangunan telaga katanya, meliputi pemasangan pam, sistem rawatan asas, tangki penyimpanan dan sistem pengepaman dengan kos kira-kira RM200,000 dan mampu mengeluarkan satu juta liter air sehari.
Edy Tonnizam berkata kapasiti itu mencukupi untuk kegunaan harian hingga 7,000 pengguna bagi keperluan mandi dan membasuh, manakala untuk minuman dan memasak telaga itu dapat memanfaatkan hingga 100,000 individu sehari.
Beliau berkata teknologi berkenaan terbukti signifikan apabila UTM menggerakkan sumber terbabit untuk membantu pelajar dan warga kampus sewaktu gangguan bekalan air meluas susulan pencemaran Sungai Johor.
“Apabila berlaku isu air yang meluas, satu-satunya sumber yang ada ialah akuifer ini dan kita salurkan air ke tangki utama serta melalui lori tangki kepada pelajar dan warga kampus,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kebarangkalian membangunkan telaga akuifer di lokasi lain hanya kira-kira satu hingga dua peratus kerana kejayaannya bergantung pada rekahan batuan yang tepat dan tidak semua kawasan mempunyai ciri geologi yang sesuai.
“Bukannya semakin dalam, semakin ada air, tetapi semakin dalam selalunya semakin tiada air, dan kajian bukan sekadar sains, tetapi juga perlu imaginasi untuk menentukan lokasi rekahan,” katanya.
Edy Tonnizam memaklumkan kos penyelenggaraan telaga adalah minimum kerana kualiti air mentah yang baik hanya memerlukan penapisan asas dengan kos kurang satu hingga dua sen bagi setiap meter padu.
Beliau berkata UTM melihat pembangunan telaga akuifer batuan sebagai sebahagian daripada visi jangka panjang universiti untuk memperkukuh keselamatan sumber air kampus serta membantu masyarakat berdekatan ketika berdepan krisis.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UTM Muhammad Hazim Azatul Amery berkata lori tangki yang disewa daripada syarikat swasta digunakan bagi mengangkut air dari telaga berkenaan untuk diagihkan kepada warga UTM.
Beliau berkata sebanyak tujuh kolej kediaman di dalam kawasan kampus terbabit menerima bekalan air berkenaan dan pengajaran minggu ini dijalankan secara dalam talian bagi mengurangkan kesan gangguan air kepada pelajar.
“Sebarang maklumat daripada pelajar berhubung blok yang tidak ada air dan sebagainya memang kami dapatkan dan dari situlah kami gerakkan tangki-tangki ini untuk diedarkan kepada pelajar bersama dengan pasukan UTM,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 455,757 pemegang akaun, atau hampir 1.8 juta penduduk di Johor, dilaporkan terjejas secara berperingkat akibat pencemaran Sungai Johor yang berlaku sejak Jumaat yang turut menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di sini terpaksa ditutup.
Pencemaran itu berpunca daripada kolam cucian pasir yang pecah di kawasan perlombongan pasir darat di daerah Kota Tinggi, menyebabkan operasi loji rawatan air terpaksa dihentikan sementara.
-- BERNAMA