Daripada Mohd Ashraf Syafiq Mazlan
RIYADH, 5 Nov (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi atas layanan baik terhadap rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu dalam pelbagai sektor termasuk minyak dan gas, perkhidmatan dan kesihatan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud di Istana Al-Yamamah di sini semalam.
Mohamed Khaled yang merupakan menteri pengiring bagi Lawatan Negara Sultan Ibrahim ke Arab Saudi berkata pertemuan itu berlangsung amat baik dan akrab dengan Seri Paduka Baginda disambut dengan istiadat sambutan negara.
“Yang di-Pertuan Agong juga telah maklumkan mengenai kehadiran lebih kurang 5,000 rakyat Malaysia yang terdapat di Arab Saudi yang berkhidmat dalam pelbagai bidang dalam industri minyak dan gas, industri perkhidmatan dan kesihatan sebagai doktor serta jururawat.
“Kesemuanya berpuas hati dan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan terima kasih kepada Arab Saudi atas penerimaan rakyat Malaysia yang berada di negara ini,” katanya kepada Bernama.
Mohamed Khaled berkata Yang di-Pertuan Agong turut menyampaikan setinggi-tinggi tahniah kepada Arab Saudi atas perancangan pembangunan ekonominya sehingga 2030.
Katanya negara itu juga telah dipilih sebagai penganjur Ekspo Perdagangan Dunia pada hujung bulan ini dan Malaysia memberikan sokongan penuh.
Beliau berkata secara umumnya, lawatan negara serta pertemuan Sultan Ibrahim dan Putera Mahkota Arab Saudi menggambarkan hubungan rapat antara dua negara Islam.
Sultan Ibrahim kini dalam lawatan negara empat hari ke Arab Saudi bermula Isnin lepas, diiringi oleh Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj.
Ini merupakan lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi sejak kali terakhir dilaksanakan oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 1984.
Menurut kenyataan Istana Negara, lawatan negara ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Arab Saudi untuk memperkukuh hubungan dua hala, di samping memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, geopolitik, pertahanan dan hal ehwal Islam.
Arab Saudi merupakan rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM44.74 bilion (USD9.79 bilion).
-- BERNAMA