KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- ASEAN perlu muncul sebagai rantau yang dipacu inovasi bagi mengukuhkan integrasi ekonomi dan daya saingnya di pasaran global, kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
Beliau berkata asas kepada ekonomi ASEAN tanpa sempadan terletak pada tiga aspek utama iaitu inovasi, keterhubungan lancar, serta rasa saling percaya, keyakinan, keamanan dan kestabilan yang kukuh.
Katanya, perkara itu juga sejajar dengan Pelan Tindakan ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi 2026-2030 (APASTI 2026-2030) yang meletakkan syarikat pemula teknologi sebagai nadi kepada pembangunan ekonomi blok tersebut dan mengorak langkah ASEAN ke arah menjadi ekonomi keempat terbesar dunia dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Asia kini menguasai 23 peratus modal teroka global dan menempatkan 19 peratus daripada syarikat pemula dunia, menunjukkan peranan rantau ini yang semakin penting dalam ekonomi global.
“Melalui inisiatif seperti Mobiliti Bakat ASEAN, lebih 8,000 profesional dari 66 negara kini berhubung antara satu sama lain, membuktikan bahawa apabila sempadan menjadi tidak relevan, idea dapat beredar secara bebas dan terbuka. Malaysia menjadi contoh teladan,” katanya dalam ucapan khas pada majlis penutup Sidang Kemuncak Syarikat Pemula ASEAN Cradle LIVE! 2025 di Zepp KL di sini pada Rabu.
Kao turut memuji usaha Malaysia menerusi platform ASEAN Startup, rangkaian dalam talian pertama di rantau ini yang menghubungkan lebih 4,000 syarikat pemula dengan 1,000 pelabur serta menjana nilai ekosistem melebihi US$131 bilion, selain kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Malaysia atas kejayaan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. Keputusan yang dibuat di sana kini sedang dilaksanakan, bermula dengan inisiatif syarikat pemula hari ini.
“Selain itu, Thailand dan Kemboja telah menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur, sekali gus mengukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama serta menjadikan keamanan sebagai keutamaan bagi kedua-dua negara jiran, yang seterusnya menyumbang kepada kestabilan serantau dan keyakinan pelabur,” katanya.
Kao berkata ASEAN terus menjadi destinasi utama pelaburan dan keyakinan, mencatat 15 peratus daripada aliran pelaburan langsung asing (FDI) global dan mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama dalam kalangan rantau membangun selama empat tahun berturut-turut.
Beliau berkata tinjauan oleh Boston Consulting Group baru-baru ini mendapati lebih 60 peratus syarikat serantau merancang untuk mengembangkan atau mengekalkan pelaburan mereka di ASEAN, menunjukkan keyakinan tinggi terhadap daya saing, potensi pasaran dan prospek pertumbuhan jangka panjang rantau ini.
“Apa yang membezakan ASEAN bukan hanya dinamik ekonominya, tetapi juga kepercayaan dan kestabilan yang terbina melalui puluhan tahun kerjasama aman dan penglibatan mampan, khususnya dengan rakan luar kita.
“Kepercayaan inilah yang memacu pelaburan, mengekalkan pertumbuhan dan menempatkan ASEAN sebagai hab yang kukuh serta boleh dipercayai di tengah-tengah ketidaktentuan global,” katanya.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Fund Norman Matthieu Vanhaecke.
-- BERNAMA