KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Malaysia dan China sedang mengadakan rundingan dua hala untuk menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang akan bertanggungjawab melaksanakan program pemerkasaan industri keretapi.
Kementerian Pengangkutan berkata pemerkasaan tersebut akan dilaksanakan melalui kaedah pajakan tren penumpang secara kerajaan dengan kerajaan antara kedua-dua negara.
“Penubuhan SPV ini akan mengambil kira keputusan kerajaan supaya 51 peratus pegangan saham dimiliki oleh syarikat milik kerajaan Malaysia,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Kementerian tersebut berkata demikian sebagai menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai status terkini perolehan kereta api elektrik secara pajakan mengikut keputusan Jemaah Menteri pada 14 Ogos 2024 dan status pengambilalihan 51 peratus dalam CRRC Rolling Stock Centre (Malaysia) Sdn Bhd oleh kerajaan.
Kementerian Pengangkutan berkata sebagai komitmen untuk melaksanakan projek itu, kerajaan juga menandatangani perjanjian persefahaman bersama kerajaan China bagi mengukuhkan kerjasama dalam sektor kereta api pada 16 April 2025.
CRRC Rolling Stock Centre (Malaysia) yang mengendalikan kilang pemasangan di Batu Gajah, Perak, kini dimiliki 70 peratus oleh CRRC Zhuzhou Locomotive Co Ltd, manakala 30 peratus lagi dipegang oleh CRRC (Hong Kong) Co Ltd.
Malaysia merancang untuk menyewa 62 set tren penumpang baharu dari China menjelang 2027 dengan kos sebanyak RM10.7 bilion bagi tempoh 30 tahun untuk Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).
Pajakan tersebut merangkumi aspek penyelenggaran, pembaikan dan baik pulih, bertujuan memastikan KTMB mempunyai jumlah tren yang mencukupi untuk beroperasi.
-- BERNAMA