AM

Berita-berita Ringkas Dewan Rakyat: 5 Nov

05/11/2025 03:15 PM

KPWKM PERKUKUH USAHA PENGAMBILAN OKU DALAM SEKTOR AWAM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menilai semula dan memperkukuh usaha ke arah mencapai sasaran kuota satu peratus pengambilan pekerja orang kurang upaya (OKU) dalam perkhidmatan awam.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak memandangkan sasaran berkenaan masih belum mencapai tahap yang diharapkan.

Beliau menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang ingin tahu tentang usaha kerajaan dalam membentuk Jabatan OKU bagi mengiktiraf sumbangan OKU dalam pembangunan negara pada sesi soal jawab lisan di Dewan rakyat hari ini..

Bagaimanapun, Nancy memaklumkan bahawa KPWKM telah mencapai hampir dua peratus kadar pengambilan OKU, melebihi sasaran nasional yang ditetapkan.

-- BERNAMA

 

CADANGAN SISTEM REPOSITORI DATA PEMBERI PINJAM WANG SEDANG DIMUKTAMADKAN

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini dalam fasa memuktamadkan cadangan projek rintis bagi membangunkan platform atau sistem repositori data peminjam dan pemberi pinjam wang yang dapat merekodkan transaksi secara masa nyata.

Timbalan Menterinya Aiman Athirah Sabu berkata sistem tersebut akan dilengkapi ciri pemantauan dan pembayaran digital bagi memperkukuh pengawalseliaan terhadap pemberi pinjam wang, sekali gus mengelakkan caj tambahan yang tidak munasabah dikenakan terhadap peminjam.

“Selain itu, dari aspek perlindungan peminjam, sistem ini turut akan dilengkapi skim perlindungan insurans pinjaman bagi memastikan mereka yang layak menerima perlindungan sewajarnya,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan P. Prabakaran (PH-Batu) berhubung cadangan mewujudkan portal bersepadu antara KPKT, peminjam dan pemberi pinjam wang berlesen bagi meningkatkan ketelusan dan perlindungan kepada pengguna.

-- BERNAMA 

 

KKDW PERKENAL INISIATIF DESA KIRANA SEMPENA TMM 2026

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperkenalkan inisiatif Desa Kirana dengan memfokuskan lima tarikan utama pelancongan desa sebagai persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rubiah Wang berkata ia meliputi memperkenalkan warisan dan budaya setempat, mengetengahkan keindahan dan keunikan alam semulajadi, menampilkan gastronomi setiap negeri, mempamerkan produk tradisional serta menyediakan pengalaman pelancongan setempat yang autentik.

“Inisiatif ini juga usaha kerajaan meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti desa dengan mempromosikan kawasan berkenaan melalui pakej komprehensif yang berpotensi menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara, termasuk golongan digital nomad atau pengembara kerja digital,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) mengenai kriteria yang ditetapkan KKDW di bawah inisiatif itu dan potensinya untuk membantu pembangunan serta ekonomi antara bandar dan luar bandar.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487378