AM

Pewartaan Sungai Johor Kawal Pembangunan Dan Aktiviti Industri Sekitar

06/11/2025 03:28 PM

JOHOR BAHRU, 6 Nov (Bernama) -- Cadangan pewartaan Sungai Johor sebagai kawasan tadahan air kekal bukan sahaja dapat mengawal pembangunan dan aktiviti industri di kawasan sekitarnya, malah memastikan langkah pencegahan serta penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan oleh pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Anuar Abdul Ghani berkata langkah itu penting bagi menjamin keselamatan dan kelestarian sumber air yang menjadi nadi kepada hampir dua juta pengguna di Johor.

“Pewartaan ini bukan sahaja dapat mengawal pembangunan dan aktiviti industri di sekitar kawasan tadahan air mentah, malah membolehkan tindakan pencegahan serta penguatkuasaan dijalankan dengan lebih berkesan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata langkah tersebut akan menjadi benteng utama dalam melindungi sumber air negeri, terutamanya empat loji rawatan air (LRA) yang bergantung kepada Sungai Johor iaitu LRA Linggiu, LRA Semangar, LRA Sungai Johor dan LRA Tai Hong.

“Kita amat bimbang dengan ancaman pencemaran yang boleh menjejaskan operasi loji-loji ini sekali gus mengganggu bekalan air kepada pengguna. Isu pencemaran bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, tetapi juga kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Anuar berkata selain Sungai Johor, terdapat lapan lagi LRA yang beroperasi dalam lembangan Sungai Muar iaitu LRA Panchor 1 hingga 4, Pagoh, Gombang, Gersik dan Bukit Serampang.

Beliau menegaskan perlindungan kawasan tadahan air perlu dijadikan keutamaan strategik bagi memastikan bekalan air berterusan, di samping menyeru kerjasama bersepadu antara kerajaan negeri, agensi penguat kuasa, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat.

“Air adalah sumber kehidupan dan tanggungjawab memeliharanya adalah tanggungjawab bersama. Ranhill SAJ komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam memastikan sumber air negeri sentiasa bersih, selamat dan lestari untuk generasi akan datang,” katanya.

Pada 31 Okt lalu, pencemaran dikesan di Sungai Johor menyebabkan empat LRA terpaksa dihentikan operasi selepas kualiti air mentah mencatat paras kekeruhan luar biasa sehingga 37,400 Nephelometric Turbidity Unit (NTU), berbanding paras normal sekitar 400 NTU.

Insiden itu menjejaskan hampir 300,000 akaun pengguna di beberapa kawasan termasuk Johor Bahru, Gelang Patah, Skudai, Kulai dan Kota Tinggi.

-- BERNAMA 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487804