NEW YORK, 5 Nov (Bernama-Xinhua) -- Keganasan di negeri Utara Darfur, Sudan terus meningkat selepas Rapid Support Forces (RSF) mengambil alih ibu negeri El Fasher, menurut agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa, lapor Xinhua.
Serangan udara dan dron dilaporkan berlaku di kawasan El Fasher, Tina dan Gunung Wana pada Ahad, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA).
Sumber tempatan melaporkan terdapat korban jiwa membabitkan orang awam, namun OCHA menyatakan mereka tidak dapat mengesahkan laporan itu disebabkan akses terhad.
Pada Isnin, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus mengutuk serangan berterusan terhadap sektor kesihatan di Sudan, selepas Hospital Bersalin dan Pediatrik Kernoi di Utara Darfur diserang, mengorbankan sekurang-kurangnya empat nyawa.
Beliau menegaskan bahawa serangan terhadap sektor kesihatan mesti dihentikan di seluruh dunia.
OCHA juga berkata bahawa meskipun keadaan berbahaya, PBB dan rakan kongsi terus menghulurkan bantuan menyelamatkan nyawa di kawasan yang masih mempunyai akses.
Pihak OCHA juga mempertingkatkan program pemberian makanan terapeutik dan vitamin.
Dalam pada itu, usaha berterusan untuk memastikan kelahiran yang selamat serta penjagaan kecemasan bagi wanita hamil melalui klinik bergerak juga diteruskan.
Pejabat itu turut melaporkan bahawa keadaan keselamatan di wilayah Kordofan juga semakin merosot.
Sumber tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 40 orang awam terbunuh manakala puluhan lagi cedera pada Isnin ketika berlangsungnya upacara pengebumian di El Obeid, ibu negeri Kordofan Utara.
“OCHA sekali lagi menyeru agar permusuhan dihentikan segera dan agar semua pihak melindungi orang awam serta menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” menurut pejabat itu.
-- BERNAMA-XINHUA