EKONOMI

Bank Islam, PAAB Meterai MoU Sedia Pembiayaan RM100 Juta Untuk Kontraktor

06/11/2025 08:27 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) untuk menyediakan pembiayaan berjumlah RM100 juta kepada kontraktor PAAB pada 2026.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak berkata kerjasama ini bertujuan memperluas akses kepada kemudahan pembiayaan dan penyelesaian perbankan yang direka khas untuk kontraktor PAAB bagi membolehkan mereka melaksanakan kontrak yang diterima dengan lebih cekap serta memacu potensi pertumbuhan perniagaan.

Menurut kenyataan itu, MoU berkenaan akan memudahkan pembiayaan dan pelaksanaan projek berkaitan aset air yang dapat mempercepat pengurangan air tidak terhasil serta membantu menjayakan inisiatif berkaitan air lain di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dan Belanjawan 2026.

“(Inisiatif ini termasuk) pelaburan infrastruktur mampan, peningkatan kebolehpercayaan perkhidmatan dan pembiayaan yang sejajar dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” kata Bank Islam dan PAAB.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan – Perbankan Institusi Bank Islam Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir berkata pemeteraian MoU ini mencerminkan komitmen strategik bank itu dalam menyokong keutamaan ESG negara di samping membuka peluang pertumbuhan yang signifikan dalam sektor air. 

“Dengan sasaran pembiayaan berjumlah RM100 juta untuk kontraktor PAAB pada 2026, kami bersedia memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pembiayaan pembangunan mampan.

“Selain pembiayaan, kerjasama ini memberikan pelanggan akses kepada modal kerja yang lebih cepat dan boleh dipercayai melalui pengesahan kontrak secara langsung dan mekanisme penyerahan pembayaran oleh PAAB,” katanya.

Sharifah Sarah berkata kerjasama ini meningkatkan ketelusan, memperkemas proses dan menyokong penyelesaian projek tepat pada masanya dengan memastikan aliran dana yang cekap di seluruh rantaian bekalan.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir menghadiri majlis pemeteraian MoU itu yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Bank Islam Datuk Mohd Muazzam Mohamed dan CEO PAAB Zulkiflee Omar.

Mengulas mengenainya, Zulkiflee berkata syarikat itu percaya MoU berkenaan menunjukkan pendekatan inovatif PAAB dalam menyokong pembangunan vendor dengan mengukuhkan kemampanan perniagaan.

“Ia membolehkan kami merapatkan jurang kewangan yang dihadapi mereka melalui penyediaan skim pembiayaan sesuai yang membantu mengekalkan kestabilan aliran tunai serta memastikan projek dilaksanakan dengan lancar dan memenuhi tempoh yang ditetapkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487959