AM

MARA, SJTU Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Malaysia-China Dalam Bidang Pendidikan

05/11/2025 05:32 PM

SHANGHAI, 5 Nov (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Universiti Shanghai Jiao Tong (SJTU) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan dan kebudayaan antara Malaysia dan China.

Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menyifatkan kerjasama tersebut sebagai bab baharu dalam kolaborasi pendidikan tinggi antara Malaysia dan China serta langkah penting bagi menyokong agenda pendidikan global MARA.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Pengerusi SJTU Yang Zhenbin serta kepimpinan universiti itu atas sambutan mesra dan komitmen mereka dalam memajukan hubungan pendidikan.

“Adalah satu penghormatan untuk saya berada di sini, yang merupakan antara universiti terkemuka di China dan institusi paling berprestij di dunia. Reputasi global SJTU dalam bidang kejuruteraan, sains, perubatan dan inovasi amat terkenal, dan kami di Malaysia sangat menghormati institusi ini.

“Pemeteraian MoU antara MARA dan SJTU menandakan bab baharu dalam kerjasama pendidikan kita, yang akan membuka peluang bermakna untuk kedua-dua institusi dan negara kita,” katanya.

Turut hadir Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi serta para pegawai kerajaan Malaysia dan agensi berkaitan.

MoU itu ditandatangani oleh Timbalan Pengarah Bahagian Penajaan MARA Maizatul Akma Mohd dan Ahli Majlis Jawatankuasa Tetap CPC merangkap Pengarah Jabatan Publisiti SJTU Yu Zhaoyang. 

Ahmad Zahid juga berkata matlamat utama MoU itu ialah mewujudkan kerjasama strategik dalam pembangunan akademik, penyelidikan dan pembangunan kapasiti selaras dengan agenda pendidikan global MARA.

Beliau berkata MARA berhasrat memanfaatkan kepakaran SJTU dalam bidang kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI), sains komputer, perubatan dan pengajian maritim melalui cadangan penubuhan Jawatankuasa Penasihat Teknikal yang memfokus kepada analisis data, teknologi hijau dan pengkomersialan penyelidikan menerusi seminar bersama, latihan profesional serta program penandaarasan.

Kedua-dua pihak turut menyambut baik peluang pertukaran dan latihan kakitangan akademik termasuk ahli akademik SJTU menyampaikan kuliah atau program residensi di institusi MARA manakala pensyarah MARA menjalani latihan di SJTU bagi memperkukuh kepakaran dalam teknologi kuantum, kejuruteraan aeroangkasa dan sains bioperubatan.

Kerjasama itu turut merangkumi program mobiliti dan pertukaran pelajar seperti pertukaran semester, pengajian pada musim panas atau sejuk serta latihan amali dalam bidang penyelidikan.

Kesemua inisiatif ini akan membolehkan pelajar MARA mendapat pendedahan kepada ekosistem penyelidikan maju SJTU manakala pelajar SJTU pula berpeluang berkunjung ke Malaysia untuk menjalani latihan industri dan menyertai program berfokuskan ASEAN bagi memupuk kefahaman silang budaya.

Ahmad Zahid juga berharap penyusunan semula yuran pengajian atau diskaun bagi pelajar tajaan MARA dapat diterokai sama ada melalui potongan tetap, kategori yuran khas atau pengecualian berasaskan merit bagi memastikan perancangan kewangan yang mampan serta memperluas akses pelajar Bumiputera kepada pendidikan bertaraf dunia.

Beliau turut menggariskan rancangan bagi kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pengajaran yang menumpukan kepada AI, tenaga mampan, bioteknologi, bandar pintar, pembuatan digital serta teknologi maritim termasuk penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah serta penerbitan bersama hasil penyelidikan.

Menyentuh mengenai sokongan pembiayaan, Ahmad Zahid berkata kedua-dua institusi akan meneroka peluang tajaan bersama dan biasiswa termasuk biasiswa berasaskan merit, geran makmal dan pengurangan yuran bagi memperluas akses penyelidik Malaysia ke persekitaran penyelidikan bertaraf dunia.

Beliau turut mengalu-alukan pelaksanaan inisiatif masa depan seperti program penghayatan budaya, pembelajaran bahasa, pembangunan kepimpinan pelajar dan inkubasi keusahaawanan bagi memperkukuh hubungan akademik dan budaya jangka panjang antara Malaysia dan China.

“Saya yakin MoU yang dimeterai hari ini akan menjadi asas kepada kerjasama transformatif antara MARA dan SJTU yang memperkasakan pelajar, memperkukuh kolaborasi penyelidikan dan memupuk persahabatan yang berkekalan antara kedua-dua negara,” katanya.

SJTU berada di kedudukan ke-45 dalam senarai universiti terbaik dunia dan pada masa sama, terdapat sejumlah 235 pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di situ.

-- BERNAMA

KEYWORDS
        
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487455