GAYA HIDUP

Menu Tradisional Malaysia Bawa Tuah, Cef Raih Tempat Ketiga Pertandingan Kulinari Di Pulau Jeju

08/11/2025 01:44 PM

Oleh Nur Faradilla Mohamad

JOHOR BAHRU, 8 Nov (Bernama) -- Hidangan tradisional Malaysia yang diolah berasaskan cita rasa Korea Selatan membawa tuah kepada dua jurumasak asal Johor apabila masakan mereka meraih tempat ketiga di  9th JeJu Local Cuisine Competition & WACS International Culinary Competition 2025 di Universiti Pelancongan Jeju, Pulau Jeju, Korea Selatan baru-baru ini.

Cef Fazalina Ismail, 55, dari Segamat dan rakan sepasukannya Muhammad Saufie Ab Rashid, 35, dari Tangkak, berjaya memikat juri dengan hidangan pembuka selera cucur udang kuah kacang dan “stuffed crab with chilli garlic sauce” untuk pembuka selera manakala “fish seaweed roulade with tangerine salad” pula bagi hidangan utama. 

Fazalina yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri kulinari dan kini merupakan Chairlady Malaysia Bersatu Culinary Association (MBCA), berkata cabaran terbesar yang dihadapinya ialah memastikan bahan masakan halal memandangkan Korea Selatan bukan negara Islam.

pic-2

“Kami perlu membuat banyak tapisan sebelum memutuskan untuk memilih makanan laut selain meneliti bahan yang boleh digunakan (halal) bagi menghasilkan sendiri sos, semasa ke pasar Dongmun, Jeju. 

"Selain itu, masalah komunikasi turut menjadi cabaran apabila kebanyakan mereka kurang fasih berbahasa Inggeris...bayangkan seperti ayam dan itik berborak,” selorohnya kepada Bernama di sini. 

Pertandingan anjuran Persatuan Cef Korea yang diiktiraf oleh Worldchefs itu menghimpunkan penyertaan daripada tujuh buah negara, iaitu Nepal, Indonesia, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, Singapura dan Malaysia yang diwakili lima peserta diketuai oleh Cef Awang Razali Hussin. 

Fazalina berkata pelbagai cabaran yang dihadapinya semasa melakukan persiapan membuatkan beliau berasa begitu bangga  apabila dapat mengibarkan bendera Johor dan Malaysia di pentas antarabangsa.

pic-3

Berkongsi pertandingan tersebut dimenangi oleh peserta Taiwan yang membawa pulang pingat emas, sementara peserta tuan rumah di tempat kedua (perak), Fazalina berkata itu adalah kali pertama beliau menyertai pertandingan masakan di luar negara.

“Oleh itu, apabila diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga, air mata saya menitis. Saya bangga kerana dapat membawa nama Johor dan Malaysia ke mata dunia,” kata ibu kepada empat anak itu. 

Bercerita tentang perjalanan kerjayanya, Fazalina yang setakat ini telah menulis 26 buah buku masakan, berkata beliau bermula dari bawah sebagai pembantu di dapur sebelum menjadi “executive chef” dan mula menyertai pertandingan pada 2004 dengan pencapaian terbaik beliau juara cef selebriti pada 2011.  

pic-4

Beliau mula aktif dalam persatuan cef pada 2022 dan kini bekerja secara bebas.

“Buat masa sekarang saya banyak menerima undangan daripada kolej kulinari untuk sampaikan ceramah selain jadi juri pertandingan masakan. Sejak kemenangan pada 2011 saya tidak lagi sertai mana-mana pertandingan sehinggalah yang di Korea Selatan ini. Saya memutuskan untuk kembali bertanding bagi memenuhi impian,” katanya.

Mendedahkan segala kos ditanggung peserta, beliau berharap kerajaan negeri dapat membantu dari segi tajaan untuk jurumasak tempatan yang berpotensi bersaing di peringkat antarabangsa.

Berkongsi yang beliau bakal menjadi juri selain dicalonkan bagi Anugerah Nari Ratna 2025 di India pada Disember ini, Fazalina mengalu-alukan anak Johor menyertai pertandingan itu bagi mengangkat nama negeri dan negara ke pentas dunia.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2488456