KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Pasukan koir Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (1), Les Chanteurs, sekali lagi mengharumkan nama negara dengan meraih dua pingat emas dan satu perak di Malaysian Choral Eisteddfod (MCE) 2025, Festival Koir Antarabangsa (ICF) yang berlangsung dari 5 Nov hingga hari ini.
Terdiri daripada kumpulan Senior dan Junior, mereka menampilkan persembahan tersendiri dan bertenaga dalam tiga kategori yang diadakan serentak di ibu negara, iaitu di Dewan Filharmonik Petronas, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) dan Menara KEN Taman Tun Dr Ismail.
Les Chanteurs Senior yang dibarisi 19 murid berusia 10 hingga 12 tahun mempertaruhkan lagu Rise Up dan Seindah Biasa (gubahan Wong Shen Vee) dalam kategori B5: Pop Vocal Ensemble.
pic-2
Meskipun kali pertama bertanding dalam kategori itu dan bersaing dengan kumpulan lain yang lebih berpengalaman, mereka berjaya meraih emas.
Satu lagi kumpulan Senior terdiri daripada lebih 50 pelajar membawa pulang emas kedua dalam kategori Young Children (Championship) menerusi lagu When You Believe dan Irama Warisan Kita, juga digubah oleh Wong.
Konduktor pasukan Azahar Abdullah berkata kejayaan itu adalah hasil kerja keras, disiplin dan semangat tinggi semua ahli.
“Saya amat bangga dengan keupayaan penyanyi Les Chanteurs. Kejayaan ini membuktikan bahawa dedikasi dan usaha berterusan mampu menghasilkan prestasi cemerlang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Les Chanteurs Junior, di bawah bimbingan konduktor Rabi’atul Raba’ah Baharudin, merangkul pingat perak dalam kategori Young Children (Open) selain menerima Anugerah Khas Juri bagi Artistic Interpretation of Malaysian Music.
pic-3
Kumpulan yang terdiri daripada murid tahap satu berusia tujuh hingga sembilan tahun itu mempersembahkan dua lagu iaitu Ketipang Intan Payung (gubahan Dr Yusran Yusoff) dan I’ve Got Joy, diiringi Dr Mohd Fairuz Zamani (piano) dan Ruviyamin Ruslan dari No Noise Percussion.
“Walaupun ramai tidak mempunyai asas muzik formal, mereka menunjukkan disiplin dan kesungguhan tinggi, sehingga mampu tampil yakin di pentas antarabangsa,” kata Rabi’atul Raba’ah yang turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, guru pembimbing dan ibu bapa atas sokongan berterusan.
MCE 2025 menghimpunkan pasukan koir antaranya dari Myanmar, Indonesia, Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura.
Pada pertandingan tahun lepas, Les Chanteurs Senior dan Junior turut cemerlang dengan masing-masing memenangi emas dan perak.
-- BERNAMA