SHAH ALAM, 9 Nov (Bernama) -- Seramai 210 penunggang motosikal diperiksa, manakala empat individu ditahan selepas menunggang secara berbahaya dalam Operasi Khas Bersepadu yang dijalankan di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), awal pagi tadi.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata operasi yang bermula pada pukul 1.30 pagi itu turut membawa kepada sitaan 48 buah motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Sebanyak 105 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang operasi yang dengan tujuan membanteras aktiviti samseng lumba haram.
"Pasukan penguat kuasa bergerak ke lokasi pada pukul 1.30 pagi sebelum penutupan penuh di kedua-dua arah Lebuh Raya KESAS bermula pada pukul 3.30 pagi melibatkan 25 simpang utama di jajaran KM18 hingga KM26, iaitu 6 kilometer dari kawasan tumpuan lumba haram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shazeli berkata kesemua motosikal dan penunggang terbabit dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bermula pukul 4.15 pagi untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata operasi itu turut mendapati lima penunggang positif dadah selepas menjalani ujian saringan air kencing oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), melibatkan tiga positif ganja dan dua positif ketum.
“Pemeriksaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap lapan motosikal pula mendapati tiga menerima notis saman kerana pengubahsuaian ekzos melebihi had bunyi dibenarkan,” katanya.
Shazeli menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya di kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi perlumbaan haram.
Operasi yang tamat pada 9.15 pagi itu membabitkan 183 pegawai dan anggota daripada JSPT IPK Selangor, JSPT Lebuhraya Bukit Aman, Unit Risikan dan Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), JAS, AADK serta Konsesi Lebuhraya KESAS.
-- BERNAMA