JENAYAH & MAHKAMAH

Video Tular Lelaki Ditahan Jenayah Samun Cuma Latihan Simulasi - Polis

09/11/2025 06:36 PM

SHAH ALAM, 9 Nov (Bernama) -- Video tular mendakwa berlaku kejadian samun yang memaparkan sepasukan polis menahan seorang individu di sekitar Klang merupakan latihan amal simulasi hot pursuit,   dikelolakan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata latihan dilakukan kira-kira 10 pagi semalam itu adalah bagi mengkaji keberkesanan dan kesiapsiagaan Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan pusat kawalan daerah dalam situasi pengejaran.

"Latihan itu melibatkan koordinasi bersama cawangan pusat kawalan Polis Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam IPD Klang Utara.

"Dua pegawai kanan polis bersama 26 pegawai rendah polis IPD Klang Utara terlibat secara langsung dalam menjayakan latihan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak memuat naik sebarang rakaman atau kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat atau bakal berdepan tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, tular di laman sosial rakaman video yang mendakwa seorang individu ditahan polis setelah terlibat dalam kejadian samun kedai emas dan cubaan melarikan diri di Aman Perdana, Klang.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2488848