ALOR SETAR, 9 Nov (Bernama) -- Kedah yakin kempen Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025) mampu merancakkan lagi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) yang meletakkan sasaran 40 juta pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri Datuk Mohd Salleh Saidin berkata pihaknya optimis TMK 2025 mampu menarik lebih ramai pengunjung terutama ke produk-produk baharu pelancongan di Langkawi dan tanah besar.
Beliau berkata TMK 2025 digerakkan berasaskan lima teras iaitu sejarah, kebudayaan, kesenian, pesona alam dan gastronomi.
“Jika sektor pelancongan di tanah besar Kedah sebelum ini agak sendu dan kurang dipedulikan ternyata kini tidak lagi dan mencapai sasarannya.
"Produk-produk sedia ada mula menarik perhatian dan produk-produk baharu muncul dengan banyaknya. Demikian juga dengan acara-acara yang berorientasikan pelancongan,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Forum Rangkaian Pelancongan Antara Negeri Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) Malaysia di sini hari ini.
Bertemakan Experience Kedah’ katanya menerusi TMK 2025 pelancong dapat melihat, merasai dan melalui sendiri pengalaman unik yang disajikan di negeri ini,
Sementara itu, Mohd Salleh berkata kerajaan negeri membuka ruang seluasnya kepada pemain industri untuk datang dan meneroka potensi pelancongan di Kedah.
“Kedah menyediakan destinasi menarik, luangkan waktu untuk melihat lebih dekat Puncak Jerai ke Tasik Pedu, dari Dayang Bunting ke Pulau Songsong, dari Sungai Batu dengan tamadun paling tua di Asia Tenggara ke Kuala Kedah dengan Perang Musuh Bisiknya.
“Suasana hamparan sawah padi ke dusun segala buah, dari Mek Mulong sehingga ke Tarian Cinta Sayang yang begitu mempesona, dari Laksa Kedah ke Gulai Temenung, setiap satunya menjanjikan kelebihan tersendiri, kita bukan sahaja dapat memperkukuh pelancongan domestik, tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan serantau,” katanya.
-- BERNAMA