KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Dahulu dikenali sebagai daerah nelayan, Bagan Datuk di hujung barat negeri Perak kini muncul sebagai destinasi pelancongan baharu yang menawarkan keunikan alam semula jadi, warisan budaya dan pengalaman luar biasa yang tidak terdapat di tempat lain.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata daerah yang terkenal dengan aktiviti perikanan dan ladang kelapa itu sebenarnya mempunyai pelbagai keistimewaan yang mampu menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata antara tarikan utama yang semakin mendapat perhatian ialah fenomena semula jadi cermin langit (sky mirror) iaitu satu pemandangan luar biasa permukaan laut memantulkan imej langit dengan jelas.
“Bagan Datuk mempunyai sky mirror sendiri, antara tujuh lokasi seumpamanya di dunia. Ia satu fenomena luar biasa yang membolehkan pengunjung menyaksikan pantulan langit di permukaan air, seolah-olah berdiri di atas cermin raksasa,” katanya menerusi satu rakaman klip video.
Fenomena itu hanya muncul beberapa kali setiap bulan, ketika air laut surut sepenuhnya sekitar waktu bulan baharu atau bulan penuh dan ketika itu, dasar laut yang cetek bertukar menjadi hamparan pantulan sempurna, menjadikan pengunjung seolah-olah berjalan di atas langit.
Ahmad Zahid berkata satu lagi tarikan unik di Bagan Datuk yang diisytiharkan secara rasmi sebagai daerah ke-12 di Perak pada 2017, ialah Sungai Burung, lokasi popular bagi aktiviti memberi burung helang makan menjelang senja, satu pengalaman yang semakin digemari pengunjung dari dalam dan luar negara.
Di kawasan sama terletak Akuarium Sungai Burung yang menampilkan pelbagai spesies ikan air tawar seperti arapaima gergasi, arowana dan garfish, selain haiwan daratan seperti merak, arnab dan biawak.
Menjelang malam, Ahmad Zahid berkata Sungai Burung berubah wajah dengan kemunculan fenomena menakjubkan dikenali sebagai air mata biru (blue tears) iaitu apabila cahaya biru semula jadi daripada ikan bilis bermata biru di perairan Kuala Sungai Perak menuju ke Selat Melaka.
“Fenomena blue tears ini sangat jarang ditemui di dunia. Ia boleh disaksikan pada waktu malam, sama ada ketika hujan atau cuaca cerah, apabila ikan-ikan ini berenang secara berkumpulan dan menghasilkan cahaya kebiruan yang membentuk corak memukau. Melihat itu mempercayai (seeing is believing),” katanya.
Bagi pencinta alam yang mencari suasana ceria dan penuh warna, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Taman Bunga Matahari di Bagan Sungai Burung antara lokasi yang wajib dikunjungi.
Taman seluas hampir satu hektar itu menempatkan lebih 2,000 pokok bunga matahari yang mekar mengikut kitaran, menjanjikan pemandangan kuning keemasan hampir sepanjang tahun dan kini menjadi lokasi pilihan pelancong untuk bergambar, khususnya bagi sesi fotografi praperkahwinan dan potret keluarga.
Ahmad Zahid berkata selain keindahan alam semula jadi, Bagan Datuk turut menonjol dengan Masjid Tuminah Hamidi atau lebih dikenali sebagai Masjid Pelancongan yang menjadi mercu tanda baharu daerah ini.
Dibina di atas air, masjid terapung itu bukan sahaja berfungsi sebagai rumah ibadah, tetapi juga simbol seni bina Islam moden yang indah dan menenangkan.
Tidak lengkap lawatan ke Bagan Datuk tanpa menikmati pemandangan ladang kelapa yang menjadi nadi ekonomi serta identiti utama daerah ini.
Digelar Tanah Kelapa, kawasan itu dihiasi deretan pokok kelapa yang melambai ditiup angin laut. Penduduk setempat memanfaatkan pokok kepala untuk menghasilkan minyak, snek, kraftangan serta minuman kelapa segar yang terkenal di tepi jalan.
Bagi mempromosikan produk pelancongan utama di Bagan Datuk, Ahmad Zahid berkata portal rasmi ‘Visit Bagan Datuk’ telah diwujudkan untuk memberikan maklumat lengkap kepada pengunjung sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke daerah itu.
“Walaupun Bagan Datuk belum mempunyai hotel besar, konsep inap desa yang diusahakan penduduk tempatan bukan sahaja menambah pendapatan mereka, malah memberikan pengalaman inap desa yang autentik kepada pelancong,” katanya.
-- BERNAMA