JENAYAH & MAHKAMAH

Kematian Pempengaruh Taiwan: Polis Mohon Lanjutan Reman Terhadap Namewee Esok

09/11/2025 07:21 PM

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Polis akan membuat permohonan lanjutan reman terhadap penyanyi rap tempatan Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee bagi membantu siasatan kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan di sebuah hotel di Jalan Conlay, di sini, bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sazalee Adam berkata permohonan akan dikemukakan esok selepas tempoh remannya yang bermula Rabu lepas berakhir.

“Ya, permohonan sambungan reman terhadapnya (Namewee) akan dibuat esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Media sebelum ini melaporkan pemuzik terbabit yang merupakan individu terakhir bersama pempengaruh Taiwan berkenaan iaitu Hsieh Yun Hsin, dianggap penting dalam membantu siasatan dan telah menyerah diri pada Rabu lepas.

Wanita berusia 33 tahun itu ditemukan mati dalam tab mandi di bilik air hotel terbabit pada 22 Okt lepas sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat serta analisis toksikologi bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya.

Kes itu yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), kini disiasat semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam siasatan sama, pemuzik itu turut ditahan kerana memiliki serta menggunakan dadah dan telah didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada 24 Okt lepas.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2488884