JENAYAH & MAHKAMAH

Pemuzik Kontroversi Akan Ditahan Bantu Siasatan Kes Kematian Pempengaruh Taiwan

04/11/2025 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Polis akan menahan seorang pemuzik kontroversi bagi membantu siasatan kes kematian seorang pempengaruh wanita Taiwan yang ditemukan meninggal dunia di sebuah hotel di sini pada 22 Okt lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata pada mulanya, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), namun selepas siasatan lanjut, ia diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pemuzik itu ialah individu terakhir bersama dengan mangsa dan kini dia dianggap penting dalam membantu siasatan dan tidak menolak kemungkinan akan ditahan dalam masa terdekat,” katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata semua aspek akan diteliti termasuk pergerakan mangsa sejak tiba di negara ini pada 20 Okt lepas, saksi serta individu terakhir yang dilihat bersama-sama mangsa sebelum kejadian.

“Siasatan dijalankan secara menyeluruh termasuk mengambil keterangan daripada petugas hotel, anggota keselamatan serta meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada ketibaan mangsa sampailah ke lokasi kejadian,” katanya.

Menurut laporan media, mayat pempengaruh Taiwan, Hsieh Yun Hsin, ditemukan oleh pemuzik terbabit di dalam tab mandi di sebuah hotel di Jalan Conlay pada 1.40 tengah hari, 22 Okt lepas dan mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Pemuzik itu kemudiannya turut ditahan kerana memiliki dan menggunakan dadah.

Semasa serbuan pada 4.30 petang hari yang sama, polis menjumpai sembilan pil berwarna biru disyaki ekstasi dengan anggaran berat 5.12 gram.

Pemuzik berkenaan seterusnya didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada 24 Okt.

Fadil berkata pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat serta analisis toksikologi bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Mangsa dan pemuzik itu difahamkan tiba di hotel berkenaan pada 20 Okt lepas dan sepatutnya meninggalkan negara ini pada 24 Okt.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487007