AM

Dua RUU Di Bawah KESUMA Dibentang Untuk Bacaan Kali Pertama

10/11/2025 05:28 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 dan RUU Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Kedua-dua RUU itu dibentangkan Menteri Sumber Manusia Steven Sim yang memaklumkan bacaan kali kedua dan ketiga akan dibuat pada mesyuarat Dewan Rakyat kali ini.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pindaan kedua-dua akta itu adalah langkah penting untuk memperkukuh sistem pembangunan kemahiran negara serta memastikan tenaga kerja Malaysia bersedia menghadapi cabaran ekonomi berasaskan kemahiran dan teknologi masa depan.

RUU Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 bertujuan meminda Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) bagi memperkemaskan persijilan kemahiran di Malaysia dalam usaha membangunkan tenaga kerja mahir negara.

Teras utama pindaan itu termasuk menambah keanggotaan Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan dengan melibatkan kementerian strategik dan badan profesional supaya dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) lebih inklusif, selain mengiktiraf program latihan kemahiran di luar National Occupational Skills Standard (NOSS) bagi tujuan pembiayaan di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Pindaan turut menambah baik tempoh pertauliahan penyedia latihan kemahiran daripada tiga kepada enam tahun serta memperkenalkan tatacara penggantungan dan pembatalan yang lebih jelas, telus dan berakauntabiliti.

“Selain itu, diperkenalkan Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM) sebagai laluan pembelajaran fleksibel sejajar konsep pembelajaran sepanjang hayat, serta mengiktiraf kepakaran tenaga kerja tempatan melalui kategori baharu iaitu pakar kemahiran, pakar kemahiran kanan dan perunding kemahiran,” menurut kenyataan itu.

RUU Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 pula bertujuan meminda Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 (Akta 640) bagi meluaskan skop pembiayaan PTPK.

Antara teras utama pindaan ialah perluasan skop pinjaman latihan kemahiran dan bantuan kewangan kepada program latihan lain yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), serta pemantapan tadbir urus melalui proses kelulusan, pengurusan dan kawalan bantuan kewangan yang lebih telus.

Pindaan juga memperkukuh kuasa penguatkuasaan dan penyiasatan, termasuk had masa tindakan undang-undang selama 12 tahun serta sekatan keluar negara terhadap peminjam ingkar.

“Melalui pindaan kepada kedua-dua akta ini, KESUMA yakin sistem pembangunan kemahiran negara akan menjadi lebih inklusif, fleksibel dan berimpak tinggi, selaras dengan agenda Malaysia MADANI yang menekankan kemahiran, kebajikan dan keberhasilan rakyat,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2489161