AM

RM2.03 Bilion Disalurkan Kepada Lebih 562,000 Penerima Bantuan JKM Setakat Ogos

11/11/2025 02:27 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Sebanyak RM2.03 bilion disalurkan kepada 562,116 penerima bantuan kebajikan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari Januari hingga Ogos tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata daripada jumlah itu, sebanyak 267,036 penerima adalah lelaki manakala 295,080 wanita.

“Berdasarkan statistik JKM, pada 2022 terdapat 533,167 penerima bantuan didaftarkan dengan peruntukan RM2.46 bilion manakala pada 2023, jumlah penerima meningkat kepada 543,811 orang dengan peruntukan RM2.53 bilion,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) yang ingin tahu pecahan jenis bantuan melalui JKM kepada rakyat mengikut bilangan jantina, umur, kaum dan kos diperuntukkan dari 2022 hingga 2025 bagi bantuan berkenaan.

Bagi pecahan etnik penerima bantuan hingga Ogos lepas, Nancy berkata sebanyak 316,471 penerima terdiri daripada kaum Melayu, 92,749 (Cina), 61,833 (India), 1,124 (Peribumi Semenanjung), 44,969 (Peribumi Sabah), 39,398 (Peribumi Sarawak) dan 5,621 daripada lain-lain etnik.

Beliau turut memaklumkan kumpulan umur tertinggi penerima bantuan JKM ialah warga emas berusia 60 tahun ke atas, melibatkan 248,831 penerima Bantuan Warga Emas (BWE).

Menjawab soalan tambahan Zahari mengenai golongan rentan yang layak tetapi tidak menerima bantuan, Nancy menjelaskan setiap permohonan dinilai secara teliti melalui siasatan pegawai JKM di lapangan.

“Berdasarkan penilaian dan siasatan dilaksanakan oleh pegawai JKM, terdapat permohonan tidak menepati syarat kelayakan bagi mendapatkan bantuan JKM.

“Antara faktor ialah pemohon bukan warganegara Malaysia, pendapatan keluarga melebihi had kelayakan, mempunyai anak dewasa yang bekerja, masih sihat dan berupaya bekerja serta mempunyai sumber pendapatan sampingan seperti pencen atau bantuan lain,” katanya.

Bagaimanapun, Nancy berkata JKM menyediakan pelbagai saluran bagi memudahkan permohonan, termasuk secara dalam talian bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar layak.

“Kita ada cara juga, boleh mohon secara dalam talian dan pegawai kita akan turun padang untuk mengesahkan permohonan tersebut. Kalau tidak mampu hadir, boleh juga diwakilkan. Jadi banyak cara yang kita bantu,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2489430