GAYA HIDUP

Anak Malaysia Cipta Nama Di Pentas World Of Wearable Art 2025

16/11/2025 07:49 PM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Usaha memulihkan diri selepas terlibat dalam kemalangan ngeri pada Mac 2024 di Lake Tekapo, New Zealand yang turut meragut nyawa dua sahabat baiknya, menjulang nama Mohammad Faris Mohd Fairusham di pentas World of WearableArt (WOW) 2025 di Wellington pada September lalu.

 Anak muda Malaysia ini menjuarai kategori Air Section menerusi rekaan fesyen avant-garde yang diinspirasikan daripada wau bulan pada pertandingan seni reka cipta berprestij New Zealand itu, sekali gus memperkenalkan simbol warisan budaya Malaysia tersebut di gelanggang seni antarabangsa.    

“Saya membesar melihat wau tapi tidak pernah terlibat dalam proses membuatnya, jadi projek ini juga menjadi cara untuk saya ‘reconnect’ dengan akar budaya sendiri (kerana keluarga berasal dari Kelantan). Saya nak tunjukkan bahawa warisan Malaysia boleh diterjemahkan menjadi sesuatu yang moden, avant-garde dan berjiwa global tanpa hilang jati diri,” katanya kepada Bernama.

pic-2

Dilahirkan di Miri, Sarawak namun dibesarkan di Kuala Lumpur,  Mohamad Faris, 22 baru sahaja menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perdagangan (Kewangan dan Sistem Maklumat) di Victoria University of Wellington pada Jun lepas,

Kini dia memberi tumpuan kepada penghasilan rekaan avant-garde yang lebih eksperimental, khususnya untuk pentas seni dan persembahan, serta tidak menolak kemungkinan menyambung pengajian dalam bidang fesyen secara profesional.

”Minat saya tertumpu pada rekaan yang bercerita dan membawa emosi. Kemenangan ini sekali gus membuka pintu besar untuk saya, bukan hanya dalam dunia fesyen, tapi juga dari segi keyakinan diri. Saya juga mula dihubungi oleh pereka dan komuniti seni Malaysia selain ramai yang ingin tahu tentang WOW,” katanya, menambah, meskipun Wellington sebuah bandar kecil, masyarakatnya menghargai seni dan berani mengekspresikan diri.

pic-3

“Dari situ saya belajar bahawa seni menyatukan komuniti, dan ia meyakinkan saya bahawa seni serta budaya Malaysia juga layak diraikan di pentas dunia,” katanya yang berhasrat kembali ke pentas WOW tahun depan.

Berkongsi tragedi Mac 2024 itu, Mohammad Faris berkata selepas menjalani pembedahan dan dalam proses pulih daripada kecederaan serta trauma kehilangan sahabat baik - Megat Shaman Aqif Megat Irman Jefni dan Wan Nur Adlina Alisa - dia menemukan bidang jahitan.

“Saya sebenarnya mula belajar menggunakan mesin jahit dengan lebih serius pada 2023 dan semasa baru belajar di New Zealand saya beli mesin jahit terpakai dan mula ‘upcycle’pakaian lama. Selepas kemalangan itu saya mahu memulihkan diri dan penyertaan dalam WOW adalah sebagai usaha kembalikan semangat,” katanya. 

pic-4

Nahas 29 Mac 2024 itu melibatkan lima pelajar Malaysia daripada dua universiti, iaitu University of Canterbury dan Victoria University of Wellington. Selain Mohammad Faris, dua lagi yang terselamat ialah Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable anak Walton.

Bercerita tentang rekaannya, anak kedua daripada enam beradik itu berkata selepas ideanya menjadikan wau bulan sebagai asas reka bentuk, dia memulakan penyelidikan sebelum mula mengolah bentuk wau dua dimensi kepada struktur tiga dimensi. 

“Saya jadikan lengkungan tengah (pada wau bulan) sebagai korset dan bahagian atas sebagai elemen sayap untuk menghasilkan siluet dramatik yang selari dengan tema ‘Air Section',” jelasnya.

Menurutnya proses membina rekaan itu dimulakan pada November 2024 dan mengambil masa hampir enam bulan untuk disiapkan kerana, pada masa sama, dia perlu membahagikan masa antara pengajian, kerja sambilan dan persediaan pertukaran pelajar ke Colombia.  

pic-5

Katanya cabaran terbesar adalah memastikan struktur rangka utama yang menggunakan rotan kekal kukuh namun selesa dipakai, selain menguruskan proses pembungkusan dan penghantaran kostum bersaiz besar itu dari Wellington ke Nelson.

“Jadi, saya perlu belajar melentur, mengikat dan menyeimbangkannya supaya kukuh tetapi masih selesa dipakai model sepanjang tiga minggu persembahan. Saya juga mereka lapik bahu menggunakan bahan kitar semula, termasuk kain daripada kotak tisu Cina berwarna emas untuk tambah kestabilan dan juga melambangkan kepelbagaian budaya Malaysia,” katanya.

Mengakui bentuk dan saiz wau memberi cabaran untuk dihantar ke lokasi persembahan, Mohammad Faris berkata rakannya yang juga pelajar seni bina bernama Matilda banyak membantu termasuk mereka kotak khas untuk memuatkan rekaannya itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2491298