Oleh Nurhafizah Tan
KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Tidak hanya dikenali sebagai pelakon, Sharifah Rose juga sinonim dengan gaya ringkas dan elegan yang sering menjadi inspirasi wanita, terutama golongan muda.
Sering berkongsi idea fesyen melalui kandungan video di media sosial, personaliti dengan lebih 800,000 pengikut di Instagram itu membuktikan bahawa fesyen bukan sekadar mengikuti trend, tetapi juga cara mengekspresikan keyakinan diri.
"Pilihan saya biasanya kemas, selesa dan ringkas. Saya juga akan cuba mix and match. Orang selalu ada mindset baju kalau dah sekali pakai tak nak pakai dah.
"Tapi saya suka ulang pakai, campur dan padan dengan gaya berbeza. Selain jimatkan wang, secara tidak langsung kita juga amalkan sustainable fashion," katanya kepada Bernama ketika ditemui di acara Wardah Colorfit x FMA (Fashionably Modest Asia 2025) baru-baru ini.
Heroin Dua Darjat dan 3 Nota Cinta itu fesyen sepatutnya menyerlahkan personaliti, bukannya menjadi platform untuk membandingkan diri sehingga membunuh keyakinan.
pic-2
“Memang bagus untuk ambil inspirasi dan memberi inspirasi, tapi kita kena kenal diri kita, apa yang kita selesa dan suka. Jangan hilang identiti semata-mata cuba fit in," katanya.
Berkongsi perkembangan kerjaya seninya, pemilik nama sebenar Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira ini bakal tampil dengan drama bersiri Doa Yang Terlindung bergandingan dengan Fasha Sandha, Nafiz Muaz dan Firdaus Karim.
"Watak kali ini agak berbeza, tak macam karakter sebelum ni yang cheek and fun. Jalan cerita pun agak berat.
“Saya rasa cerita ini best dan boleh beri inspirasi kepada orang lain, termasuk cara untuk bangkit dari ujian hidup... itu yang membuatkan saya tertarik untuk terima tawaran ini," katanya yang lebih selesa membintangi genre romantik komedi.
Anak sulung daripada dua beradik itu juga bakal muncul dalam drama mikro bersiri genre romantik komedi Jiran Tepi, Hati-Hati bersama-sama dengan pelakon Syafi Tee yang dihasilkan menerusi kerjasama RTMKlik dan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas).
-- BERNAMA