SUKAN

Tengku Zafrul Titip Ucapan Tahniah Kejayaan Pearly-Thinaah

16/11/2025 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menitipkan ucapan tahniah kepada pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah selepas muncul juara Masters Jepun 2025 di Kumamoto hari ini.

Tengku Zafrul berkata kejayaan memenangi kejuaraan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ketiga musim ini hasil daripada kerja keras dan konsistensi mereka.

“Syabas dan tahniah sekali lagi kepada Pearly-Thinaah! Kemenangan pada Masters Jepun hari ini bukan sahaja kejayaan besar, malah ini adalah gelaran Jelajah Dunia BWF ketiga mereka tahun ini!

“Kejayaan memenangi Terbuka Thailand, Terbuka Artik dan kini Masters Jepun menunjukkan konsistensi mereka. Kebanggaan Malaysia!”  menurut kenyataan di akaun rasmi Facebook miliknya.

Terdahulu, gandingan ranking kedua dunia itu membuktikan kehebatan mereka di pentas antarabangsa selepas menundukkan gandingan tuan rumah Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 22-20, 21-19 dalam tempoh 54 minit.

Kemenangan itu membolehkan kedua-dua mereka membawa pulang hadiah wang tunai USD37,525 (RM155,190).

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2491426