JENAYAH & MAHKAMAH

Pemilik Kilang Ais Didenda RM50,000 Kerana Sambung Paip Air Haram

17/11/2025 02:33 PM

KOTA BHARU, 17 Nov (Bernama) -- Seorang pemilik kilang pengeluaran ais didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku membuat sambungan paip air milik Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) secara haram.

Hakim Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Yusrid Mohd Yusof, 33, dan memerintahkan dia dipenjara selama setahun sekiranya gagal membayar denda.

Mohamad Yusrid didakwa melakukan kesalahan itu di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada 7 Jun 2018 mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara Suhaidariah Ahmad manakala Mohamad Yusrid tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohamad Yusrid memohon denda minimum manakala Suhaidariah meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana kes itu serius dan menyebabkan AKSB menanggung kerugian besar.

Beliau berkata penyambungan haram itu dilakukan selama 17 bulan dan menyebabkan AKSB mengalami kerugian sebanyak RM41,337.20.

Suhaidariah berkata tindakan Mohamad Yusrid turut menyumbang kepada peningkatan peratusan air tidak terhasil (NRW) di Kelantan.

"Peningkatan NRW akan mengakibatkan AKSB mengalami masalah kekurangan daripada segi modal untuk menambah baik infrastruktur sistem bekalan air terutamanya bagi kerja-kerja penyenggaraan paip-paip usang.

"Oleh itu, denda yang setimpal perlu dikenakan memandangkan Orang Kena Saman adalah seorang yang mampu selain selaku pemilik tunggal kilang berkenaan," katanya.

-- BERNAMA

KEYWORDS
   
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2491698