SUKAN

Dihukum FAM, Selangor FC Akan Kemuka Rayuan - Exco Sukan

17/11/2025 04:30 PM

SHAH ALAM, 17 Nov (Bernama) -- Selangor FC (SFC) akan mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung denda RM100,000 dan beraksi tanpa penonton susulan insiden ‘panas’ melibatkan kelakuan penyokong pada aksi suku akhir kedua Piala FA 2025-26 menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya pada 29 Okt lepas.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata rayuan berhubung denda berkenaan akan dilakukan oleh pihak pengurusan SFC dan bakal mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu dalam masa terdekat.

“Di peringkat kerajaan negeri, kita nasihatkan pengurusan kelab untuk merayu dan menyemak semula kes ini.

“Kita (kerajaan negeri) juga telah meminta pihak pengurusan kelab untuk melihat semula hukuman ini dan sekiranya wujud dakwaan yang mungkin kurang tepat, ia harus dibantah,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Wisma Negeri Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Najwan menyifatkan denda yang dikenakan kepada skuad Red Giants itu agak keras dan sedikit keterlaluan.  

“Denda itu satu perkara dan kemudiannya dihukum beraksi tanpa penyokong. Itu pun agak keterlaluan sebenarnya dan kita harap ada pertimbangan susulan di peringkat FAM,” katanya.

Mohd Najwan turut menasihati penonton untuk berdisiplin dan menjaga keharmonian dalam stadium.

“Sekiranya satu perlawanan itu penyokong bertindak di luar batasan dan mengikut emosi, ia berisiko untuk menjadikan kelab sebagai sasaran dan berkemungkinan ia juga akan dihukum,” katanya.

Terdahulu, pasukan Selangor FC dihukum bermain tanpa penonton susulan insiden melibatkan kelakuan penyokong pada aksi suku akhir kedua Piala FA 2025-26 menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya pada 29 Okt lepas.

Sabtu lepas, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Baljit Singh Sidhu dilaporkan berkata skuad itu akan beraksi di stadium kosong pada aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Sabah FC pada 30 Nov ini dan perlawanan sulung mereka di gelanggang sendiri bagi saingan sama, musim berikutnya.

Baljit berkata Selangor FC, yang mara ke separuh akhir musim ini hasil kemenangan dengan agregat 6-3, juga didenda RM100,000 akibat kesalahan berulang menurut Artikel 42, Perenggan 1 Kod Tatatertib FAM.  

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2491793