KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Skuad hoki remaja wanita negara membawa semangat juang tinggi untuk mengharungi saingan Piala Dunia Remaja Wanita (JWC) 2025 di Santiago, Chile dari 1 hingga 13 Dis depan.
Ketua jurulatih Lailin Abu Hassan mengakui cabaran getir menanti Malaysia dalam saingan Kumpulan A apabila perlu berdepan tiga pasukan gergasi dunia.
Malaysia dijadual membuka tirai kempen menentang Jepun pada 2 Dis sebelum berdepan tuan rumah dua hari kemudian diikuti juara bertahan Belanda pada 6 Dis.
“Jika dilihat secara realistik, ada Belanda juara bertahan, Chile tuan rumah dan Jepun tempat ketujuh pada edisi lepas. Jadi memang sangat sukar untuk kita lepasi peringkat kumpulan.
"Kita akan cuba mendapatkan tempat tiga terbaik dalam kumpulan. Memandangkan pasukan kita kurang pengalaman di peringkat antarabangsa, saya juga menyasarkan untuk berada dalam kelompok 20 terbaik," katanya menerusi kenyataan dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini.
Sementara itu, pengurus pasukan Datuk Mohd Sayuti Abdul Samat berkata persiapan rapi serta pendedahan perlawanan menentang kelab Jiangsu dari China baru-baru ini telah mematangkan corak permainan pemain muda negara.
“Saya berharap pemain dapat mempamerkan aksi terbaik selepas sekian lama menjalani latihan. Pendedahan menentang Jiangsu memberikan pengalaman berharga yang boleh membantu mereka di Santiago nanti.
“Saya juga berharap pasukan dapat mara ke pusingan kedua dan seterusnya. Melihat kepada semangat yang ditunjukkan, saya percaya mereka mampu berbuat demikian,” katanya.
Pencapaian skuad Young Tigress mara ke kejohanan berprestij itu hadir dengan penuh makna apabila layak secara merit buat pertama kali dalam sejarah selepas menamatkan cabaran Piala Remaja Wanita Asia 2024 di tempat kelima.
-- BERNAMA