Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 18 Nov (Bernama) -- Malaysia memperhebat persiapan bagi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 dengan mengetengahkan warisan kulinari negara sebagai tarikan utama bagi menarik lebih ramai pelancong Indonesia, selepas menerima 3.2 juta pengunjung dari negara itu dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata acara sembilan hari “Flavours of Malaysia” menampilkan keunikan warisan kulinari Malaysia selain mengukuhkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
Beliau berkata Malaysia dan Indonesia berkongsi ikatan yang melangkaui faktor geografi, berakar umbi pada sejarah, budaya, bahasa dan tradisi yang hampir sama, sesuatu yang turut dizahirkan dalam persamaan bahan, gaya masakan dan cita rasa.
“Makanan kita mengingatkan kita kepada warisan bersama,” katanya pada majlis perasmian yang dihadiri anggota kor diplomatik dan wakil media pada Isnin.
Syed Mohamad Hasrin turut merakamkan penghargaan kepada Ritz-Carlton Jakarta, Pacific Place atas penganjuran bersama dan mengiktiraf peranan Chef Aik Choon Ng dari Ritz-Carlton dalam menyusun menu hidangan.
Tetamu dihidangkan dengan juadah kegemaran rakyat Malaysia seperti nasi lemak, roti canai, kari laksa, kuetiau goreng dan nasi ayam, hidangan yang menurutnya mencerminkan identiti Malaysia berbilang kaum.
Beliau berkata Malaysia terus menggunakan gastrodiplomasi untuk memperkukuh profil antarabangsa, dengan penganjuran program dari 18 hingga 26 Nov itu menjadi sebahagian usaha promosi serantau yang lebih luas.
Menjelang TMM 2026, Syed Mohamad Hasrin berkata lebih 320 acara dirancang di seluruh negara dan Malaysia menyasarkan ketibaan 4.37 juta pelancong Indonesia tahun ini.
“Setakat September, kami berbangga menerima 3.2 juta pengunjung dari Indonesia,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa inisiatif kebudayaan seperti ini mengukuhkan nilai bersama yang menjadi asas hubungan Malaysia-Indonesia dan menyokong kerjasama ASEAN yang lebih erat.
-- BERNAMA