JENAYAH & MAHKAMAH

Operasi Banteras Sindiket Dadah Antarabangsa Sentiasa Dilaksanakan

19/11/2025 01:59 PM

TAWAU, 18 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa melaksanakan operasi memerangi sindiket kartel dadah antarabangsa, namun kebanyakan operasi tidak dihebahkan kepada umum, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Beliau berkata operasi secara konsisten itu tidak digembar-gemburkan bagi memastikan strategi pencegahan jenayah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Mohd Khalid berkata PDRM aktif menjalinkan kerjasama dengan agensi luar negara seperti Polis Persekutuan Australia yang sentiasa memberikan bantuan bernilai dalam memastikan kejayaan operasi pencegahan dadah.

“Kerjasama kami dengan friendly services dan juga negara-negara yang berkaitan sentiasa berterusan. 

“Sebab itu kami berjaya membanteras banyak kes-kes melibatkan dadah sama ada di Semenanjung ataupun di Sabah dan juga Sarawak,” katanya pada sidang media sempena Op Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di sini hari ini. 

Semalam, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata operasi sulit, perkongsian risikan masa nyata serta kerjasama secara senyap rentas sempadan sudah lama menjadi tunjang utama dalam usaha Malaysia memerangi penyeludupan dadah meskipun sebahagian kecil daripadanya didedahkan kepada umum.

Razarudin berkata operasi membabitkan kartel dadah dilakukan di belakang tabir dan polis tidak menghebahkan sesuatu operasi membabitkan kartel kerana sekiranya didedahkan, sindiket berkaitan penyeludupan dan pengedaran dadah akan menambah naik modus operandi, seterusnya menyukarkan pengesanan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492194