DUNIA

Struktur Lemah Paksa Louvre Tutup Galeri Selatan, Pejabat Kakitangan

18/11/2025 05:32 PM

PARIS, 18 Nov (Bernama-dpa) -- Muzium Louvre pada Isnin menutup sebuah ruang pameran kepada pengunjung selepas struktur lantai di bahagian sayap selatan bangunan didapati tidak stabil, lapor agensi berita Jerman dpa.

Seramai 65 kakitangan turut diarahkan mengosongkan pejabat mereka di sayap berkenaan dalam tempoh tiga hari.

Bahagian yang terjejas ialah Galerie Campana di tingkat satu Sayap Sully, lokasi pameran koleksi seramik Greece Purba.

Louvre memaklumkan bahawa kawasan itu telah dipantau rapi sejak beberapa tahun lalu berikutan kewujudan titik-titik struktur lemah yang berpunca daripada reka bentuk kompleks serta kerja pengubahsuaian pada 1930-an.

Laporan yang dibuat pada Jumaat selepas pemeriksaan berkala mendedahkan beberapa kelemahan struktur.

Pakar mendapati sejumlah rasuk sokongan berada dalam keadaan tidak stabil.

Susulan itu, arkitek utama monumen bersejarah memutuskan untuk menutup akses ke pejabat di tingkat dua bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan dan kerja pembaikan dimulakan.

Pihak Louvre berkata pengubahsuaian Sayap Sully merupakan bahagian utama dalam pelan pemulihan menyeluruh yang diumumkan Presiden Emmanuel Macron pada awal tahun ini.

Insiden pecah masuk yang menggemparkan muzium terkenal itu bulan lalu turut mencetuskan perdebatan mengenai aspek keselamatan.

Barang kemas yang dicuri masih belum ditemukan, meskipun beberapa suspek telah ditahan.

-- BERNAMA-dpa

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492200