AM

Ahmad Zahid Ingatkan Orang Ramai Sentiasa Waspada Susulan Amaran Hujan Berterusan

23/11/2025 08:30 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Orang ramai yang berada di kawasan berisiko banjir diingatkan agar mengutamakan keselamatan dan meningkatkan kewaspadaan, susulan amaran hujan berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) melibatkan beberapa negeri sehingga 26 Nov.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan penduduk di kawasan terlibat termasuk Perak, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Pahang, supaya sentiasa peka dengan perkembangan semasa.

“Kepada yang berada di kawasan berisiko, khususnya di Bagan Datuk dan daerah yang berada dalam kategori bahaya, buruk dan waspada, saya nasihatkan agar sentiasa berwaspada, peka dengan perkembangan semasa dan mengikuti arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“Elakkan kawasan banjir, arus deras serta sungai yang melimpah. Sekiranya diarahkan berpindah, patuhi segera demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya menerusi catatan di laman X, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) memberi jaminan bahawa agensi-agensi berkaitan sedang bersiap siaga dan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.

“Sama-sama kita berdoa agar semua dilindungi daripada musibah,” kata Ahmad Zahid.

Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya yang dijangka berlaku di Kedah (Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak) serta Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh) sehingga Selasa ini (25 Nov).

Amaran hujan tahap buruk bagi tempoh sama dikeluarkan bagi Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim) serta Selangor (Sabak Bernam).

Menurut MetMalaysia, amaran hujan tahap buruk turut dikeluarkan di Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai) serta Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu Marang dan Dungun).

Jabatan itu juga mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada sehingga esok yang dijangka berlaku di Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lips, Raub, Bentong dan Temerloh) serta Selangor (Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Gombak).

Amaran hujan berterusan tahap waspada turut dikeluarkan bagi kawasan Gua Musang di Kelantan dan Kemaman di Terengganu sehingga Rabu ini (26 Nov).  

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494276