AM

Kedudukan KDEBWM Sebagai Peneraju Ekosistem Pengurusan Sisa Pepejal Akan Dipertahan - Exco

18/11/2025 06:42 PM

SHAH ALAM, 18 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor memberi jaminan  kedudukan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) akan terus dipertahankan sebagai peneraju utama ekosistem pengurusan sisa pepejal sekiranya negeri menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) kelak.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim berkata walaupun pelaksanaan Akta 672 dijangka menstruktur semula model pengurusan sisa pepejal di bawah seliaan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), KDEBWM tetap mempunyai peluang yang setara serta berdaya saing untuk terus memainkan peranan utama dalam sektor itu.

“Sekiranya Akta 672 ditandatangani, fungsi KDEBWM sebagai Project Management Company (PMC) di bawah mandat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mungkin tidak lagi terpakai. 

“Namun, sebagai anak syarikat kerajaan negeri yang berpengalaman luas dan berkeupayaan tinggi dalam pengurusan operasi, logistik serta inovasi teknologi hijau, KDEBWM mempunyai potensi besar untuk memperoleh kontrak perkhidmatan baharu melalui proses Request for Proposal (RFP) atau tender terbuka yang akan dilaksanakan oleh SWCorp, tertakluk kepada tatacara perolehan Kerajaan Persekutuan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Sijangkang) yang ingin tahu jaminan kedudukan KDEBWM sebagai peneraju pengurusan sampah di Selangor dengan pematuhan Akta 672.

Ng berkata berdasarkan rekod prestasi cemerlang KDEBWM dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di semua PBT, ia menjadi asas kukuh bagi syarikat itu kekal kompetitif dan diterima sebagai rakan strategik utama dalam ekosistem pengurusan sisa negara.

“Dalam hal ini, KDEBWM sebagai syarikat milik penuh kerajaan negeri akan terus diberi perhatian sewajarnya dalam semua peringkat pertimbangan,” katanya.  

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492329