JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Melaka Mohon Orang Ramai Bantu Kesan Remaja Perempuan Hilang

18/11/2025 10:16 PM

MELAKA, 18 Nov (Bernama) -- Polis Melaka memohon bantuan orang ramai mengesan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang sejak 1 Okt lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata remaja berkenaan, Nur Qasehku Suhaimi Abdul Rahman, kali terakhir dilaporkan dilihat di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Seri Krubong 2 di sini sebelum laporan polis dibuat pada 4 Nov lepas.

"Ciri fizikal remaja perempuan itu ialah berkepala botak, berbadan kurus, mempunyai ketinggian 161 sentimeter dan berat 50 kilogram.

"Pakaian terakhir remaja perempuan itu kemeja-T dan seluar warna hitam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Insp T. Veramuthu melalui talian 013-4574988 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492401