Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) ditutup tinggi pada Selasa, menjejaki prestasi minyak kacang soya yang lebih kukuh di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT), kata seorang peniaga.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata kuota yang lebih tinggi untuk piawaian bahan api boleh baharu telah meningkatkan sentimen dalam pasaran minyak kacang soya.
"Sehubungan itu, kami menjangkakan harga pada paras sokongan melebihi RM4,150 satu tan dan paras rintangan pada RM4,280 satu tan," kata beliau kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata niaga hadapan minyak kacang soya CBOT meningkat disebabkan kenaikan harga minyak kacang soya berikutan langkah China membeli sekitar 14 kargo kacang soya dari Amerika Syarikat (AS).
"Kenaikan harga minyak kacang soya itu membantu memperbaiki harga kacang soya di negara asal Amerika Selatan walaupun terdapat diskaun yang tinggi dan secara langsung menyokong minyak sawit," katanya.
Anilkumar berkata ringgit yang susut turut menambah sokongan kepada sentimen pasaran yang positif hari ini, memandangkan ringgit susut kepada 4.1605/1660 berbanding Dolar AS daripada 4.1480/1515 ketika ditutup Isnin.
Sementara itu, pada penutup dagangan, kontrak Disember 2025, Februari 2026 dan Mac 2026 masing-masing meningkat RM58 kepada RM4,176, RM4,209 dan RM4,213 satu tan.
Kontrak Januari 2026 menokok RM60 kepada RM4,201 satu tan, April 2026 bertambah RM62 kepada RM4,217 satu tan dan Mei 2026 naik RM57 kepada RM4,209 satu tan.
Jumlah dagangan merosot kepada 99,940 lot daripada 106,354 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 270,652 kontrak daripada 271,451 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal untuk Disember Selatan meningkat RM70 kepada RM4,200 satu tan.
-- BERNAMA