KANGAR, 18 Nov (Bernama) -- Polis Perlis merampas 112 set mesin perlombongan bitcoin bernilai RM421,690 dan mengesan kerugian elektrik dianggarkan sebanyak RM150,278 dalam tiga serbuan pada 13 dan 15 Nov lepas.
Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata rampasan berkenaan antara yang terbesar membabitkan kegiatan perlombongan Bitcoin di negeri itu, dengan hasil risikan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas mengesan penggunaan elektrik luar biasa di beberapa premis.
"Rampasan mesin bernilai RM336,000 dan aksesori RM85,690 menjadikan nilai keseluruhan RM421,690,” katanya pada sidang media di Balai Polis Simpang Empat dekat sini hari ini.
Muhammad berkata serbuan pertama di sebuah premis di Pusat Perniagaan Marina, Kuala Perlis dekat sini pada 13 Nov lepas membawa kepada rampasan 40 mesin perlombongan bitcoin.
"Dua lagi serbuan pada 15 Nov di Kangar Jaya dan Taman Putra Utama di sini, masing-masing dilakukan di sebuah premis bangunan kedai telah menemukan 72 lagi mesin serta pelbagai aksesori termasuk blower, komputer, modem Internet, CCTV (kamera litar tertutup) dan router," katanya.
Aktiviti perlombongan bitcoin berkenaan dipercayai menggunakan sambungan elektrik secara haram.
Beliau berkata seorang lelaki tempatan berusia lewat 20-an ditahan dan direman tiga hari bermula 16 Nov lepas hingga hari ini, sebelum dilanjutkan dua hari lagi dari 19 hingga 20 Nov.
“Siasatan awal mendapati kegiatan ini dipercayai telah berjalan lebih dua bulan dan beroperasi 24 jam sehari. Polis tidak menolak kemungkinan wujud rangkaian lebih besar di luar Perlis. Tindakan risikan akan terus dipertingkatkan,” katanya.
Muhammad berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.
-- BERNAMA