KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) bersama Malaysia, Jepun dan pihak berkepentingan utama industri penerbangan, menggesa kerajaan dan komuniti antarabangsa untuk mengesahkan lagi kepimpinan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) selain mempercepat tindakan iklim diselaras ke arah penerbangan karbon sifar bersih menjelang 2050.
IATA berkata pihak penandatangan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-30 (COP30), secara khusus menekankan keperluan bagi penyelesaian global dan ICAO kekal sebagai forum eksklusif untuk menangani pelepasan bagi penerbangan antarabangsa.
“Pihak terbabit juga menegaskan agar tidak dilaksanakan sebarang langkah bertentangan atau (tindakan) sepihak, sebaliknya hanya pendekatan secara sepakat dapat menghasilkan keputusan iklim yang berkesan untuk sektor ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penandatangan itu termasuk kerajaan Malaysia, Jepun, Syarikat Penerbangan Eropah, Pertubuhan Pengangkutan Udara Arab, Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa, Wakil Penerbangan Antarabangsa di Eropah, Persatuan Pengangkutan Udara Amerika Selatan dan Caribbean, Persatuan Syarikat Penerbangan Afrika, Majlis Penerbangan Perniagaan Antarabangsa dan Majlis Pengembaraan dan Pelancongan Dunia.
Selain itu, IATA berkata penandatangan juga menekankan peranan pasaran karbon global yang kukuh dalam memperluas peluang pembiayaan iklim yang menjadi agenda utama COP serta penting bagi Pelan Induk Baku ke Belem.
Perkara utama kenyataan bersama juga melibatkan penegasan terhadap kuasa ICAO sebagaimana ditetapkan di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim dan Protokol Kyoto selaku badan tunggal bagi mengawal pelepasan penerbangan antarabangsa.
“Para penandatangan menggesa semua kerajaan untuk memperkukuh pelaksanaan Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon untuk Penerbangan Antarabangsa (CORSIA) yang diluluskan oleh semua 193 negara anggota ICAO dan menjadi asas penting bagi mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
“Dalam fasa pertama CORSIA (2024-2026), syarikat-syarikat penerbangan ini dijangka membeli lebih daripada 200 juta kredit dengan penjanaan bernilai US$4 bilion hingga US$5 bilion (US$1 = RM4.15),” katanya.
IATA juga menjangkakan jumlah itu meningkat dengan ketara pada tahun-tahun berikutnya berikutan skim itu diunjur mengurangkan hampir 2 bilion kredit menjelang 2035.
Selain itu, kenyataan bersama turut menekankan gesaan agar semua negara melaksanakan Artikel 6 Perjanjian Paris, mengeluarkan Surat Kebenaran selain membolehkan Unit Pelepasan CORSIA berfungsi.
“Langkah ini penting bagi menggerakkan pembiayaan iklim antarabangsa serta turut menyokong pembangunan lestari.
“Pihak penandatangan itu juga mengingatkan bahawa cukai dan levi seperti cukai tiket yang dicadangkan oleh pakatan negara pesat membangun, bukanlah instrumen iklim yang berkesan dan boleh memberi kesan negatif terhadap kapasiti pelaburan bagi projek pengurangan pelepasan sebenar,” katanya.
IATA berkata pendekatan sedemikian boleh menjejaskan kesalinghubungan dan ekonomi negara-negara membangun serta negara kepulauan kecil.
Sementara itu, Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata kerajaan-kerajaan juga harus mengesahkan peranan ICAO sebagai pihak berkuasa global tunggal, pelaksanaan CORSIA secara sepenuhnya dan melaksanakan Artikel 6 bagi membuka pembiayaan iklim untuk negara-negara membangun agar dapat mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
“Cukai dan levi yang tidak sekata, tidak akan mengurangkan pelepasan. Ia sebaliknya berisiko mengalihkan dana daripada pelaburan untuk tujuan pengurangan pelepasan sebenar yang menjadi pertimbangan iklim penting dan boleh menjejaskan kesalinghubungan penerbangan serta kelompok yang amat bergantung terhadap aspek itu,” katanya.
-- BERNAMA