EKONOMI

Perjanjian Dengan Negara Lain Tidak Jejas Hubungan Malaysia-China, Kata TPM Ahmad Zahid

19/11/2025 01:15 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Tindakan pemeteraian perjanjian dengan mana-mana negara lain tidak akan menjejaskan hubungan Malaysia dengan China yang terus utuh, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Malaysia juga akan terus mengusahakan kerjasama dengan China, ASEAN serta diaspora global bagi menyemarakkan inovasi, menarik pelaburan serta membuka peluang bagi rakyat negara terbabit.

Berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China (GCET 2025) hari ini, Ahmad Zahid juga menegaskan bahawa kerjasama juga kekal menjadi aset paling kukuh bagi Malaysia dalam mengharungi realiti perubahan dunia.

“(Sehubungan itu), Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing...usah bimbang mengenai sebarang perjanjian yang dimeterai dengan mana-mana negara.

“Hubungan Malaysia dengan China kekal utuh. Ini kerana apabila ASEAN dan China berkembang secara bersama, manfaatnya akan dinikmati oleh semua pihak -- kalangan belia, perniagaan serta komuniti kita. Secara bersama juga, kita dapat membentuk masa depan yang lebih sejahtera, stabil serta lebih terangkum untuk semua,” katanya.

Ahmad Zahid juga menyifatkan hubungan Malaysia-China kekal “praktikal, strategik serta bersedia untuk masa depan,” disokong oleh momentum ekonomi yang kukuh di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) yang dipertingkat kepada ACFTA 3.0 yang menjadi satu pencapaian besar pada tahun ini.

Beliau berkata perdagangan ASEAN-China juga melonjak kepada US$982 bilion (US$1=RM4.15) pada 2024 daripada US$192.5 bilion pada 2008, sekali gus menjadikannya antara koridor ekonomi paling pesat berkembang secara global manakala hubungan dua hala Malaysia dengan China tumbuh dalam lingkungan lima hingga tujuh peratus pada awal 2025 dan melepasi RM200 bilion menjelang Mei.

“Hubungan kerjasama kita adalah nyata, praktikal dan berserta dengan janji. Kita perlu mengakui hakikat bahawa China juga berkembang pesat ke arah kecerdasan buatan, robotik, automasi serta pendidikan teknikal.

“Malaysia perlu menimba, melaksanakan serta menjadi pembangun bersama. Kerjasama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), meningkatkan kemahiran digital serta inovasi hijau akan melengkapkan golongan belia kita dengan kemampuan yang diperlukan oleh industri masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menekankan kerjasama halal Malaysia–China yang makin kukuh, termasuk menerusi penyertaan negara ini dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2025 di Shanghai (MIHAS@Shanghai) pada 5 hingga 10 November 2025 yang menyaksikan Malaysia mencatat hasil jualan memberangsangkan sebanyak RM3.2 bilion -- jauh mengatasi sasaran awal RM2.5 bilion.

“China merupakan satu-satunya negara yang menjemput pengeksport luar untuk mempamerkan produk halal di dewan pameran (MIHAS@Shanghai) seluas 15 juta kaki persegi.

“Kita beri keutamaan kepada produk halal dan mereka amat berminat untuk mengimportnya. Jualan mencapai RM3.2 bilion dalam tempoh lima hari yang juga satu pencapaian yang luar biasa,” katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau turut mengarahkan Pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk menyertai acara Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) setiap tahun bagi membolehkan lebih banyak syarikat Malaysia mempromosikan produk halal secara langsung di republik itu.

Acara CGET 2025 selama sehari anjuran Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik KSI bersama beberapa organisasi antarabangsa terkemuka, menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan utama untuk membincangkan trend ekonomi dan teknologi penting.

-- BERNAMA

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492525