EKONOMI

TDA Serah Lebih 64 Projek ICP Di Bawah Pemerolehan LRT3 Bernilai RM11.37 Bilion

19/11/2025 12:53 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Technology Depository Agency Bhd (TDA) menyerahkan lebih 64 projek Program Kolaborasi Industri (ICP) bagi Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bernilai RM11.37 bilion yang berjaya disiapkan kepada Prasarana Malaysia Bhd.

TDA merupakan agensi di bawah Kementerian Kewangan (MoF) yang mengawal selia serta mengurus pelaksanaan ICP dalam pemerolehan kerajaan.

Menerusi kenyataannya hari ini, TDA berkata projek-projek itu merentasi lima sektor utama yang juga seiringan dengan keutamaan ekonomi Malaysia iaitu perkhidmatan, pembuatan, pembinaan, pertanian serta mobiliti hijau.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 47 projek bagi meningkatkan lagi kecekapan operasi Prasarana, sistem digital dan keupayaan tenaga kerja manakala 17 inisiatif menumpukan komuniti dan industri, memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), universiti dan vendor tempatan menerusi pelaksanaan teknologi dan program kelestarian,” katanya.

TDA berkata projek LRT yang dianugerahkan kepada Setia Utama LRT3 Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Malaysian Resources Corporation Bhd yang memerlukan syarikat melaksanakan 64 inisiatif utama ICP bersama pembinaan landasan bagi tempoh 2019 hingga November 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif TDA Mohammad Rafidi Mat Dahan berkata pencapaian itu juga menandakan kejayaan pelaksanaan salah satu inisiatif terbesar bagi ICP.

“Ini menunjukkan bagaimana projek berkaitan kerajaan yang strategik dapat memacu pemindahan teknologi, meningkatkan keupayaan tempatan serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Pencapaian ini telah meningkatkan kemahiran, memperkukuh industri dan mewujudkan nilai nasional jangka panjang serta penanda aras bahari bagi projek-projek berkaitan kerajaan di masa depan,” katanya.

Majlis penyerahan itu telah disempurnakan di acara tiga hari Ekspo Pengangkutan Asia 2025 bermula 11 November lepas dan dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Perolehan Kerajaan kementerian, Datuk Norison Ramli.

TDA berkata program ICP bagi LRT3 itu turut mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pemimpin dalam kerjasama industri strategik dan menawarkan model mampan bagi inovasi, pertumbuhan penyetempatan dan ekonomi negara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492538