KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) dan WDA Sports Technology Sdn Bhd hari ini menganjurkan Jemputan Golf Hubungan Diplomatik China-Malaysia ke-51 di Templer Park Country Club.
Menerusi kelulusan Persatuan Golf Malaysia, jemputan itu menghimpunkan 100 pemimpin perniagaan dan komuniti bagi memperingati ulang tahun ke-51 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
“Sebagai susulan kepada kejohanan ini, para peserta juga akan menyertai majlis makan tengah hari jaringan perniagaan di EcoWorld Gallery @ Eco Grandeur di Puncak Alam pada 19 Nov, 2025.
“Sesi separuh hari itu akan menampilkan pembentangan mengenai hab industri EcoWorld yang sangat mendapat sambutan -- Eco Business Park V,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Pengurus Besar Bahagian EcoWorld Datuk Ho Kwee Hong berkata jemputan itu merupakan antara cara syarikat untuk berinteraksi dengan rakan dari Malaysia dan China dalam suasana yang lebih santai, di samping menyokong keyakinan dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama masa depan antara kedua-dua pasaran.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WDA Sports Technology Martial Loh berkata golf menyediakan platform yang praktikal untuk membina hubungan, menggabungkan pertukaran budaya, kepercayaan serta perbincangan perniagaan dalam satu suasana.
“Jemputan ini memberi peluang kepada peserta untuk meluangkan masa bersama di padang golf, berkongsi pandangan dan meneroka potensi kerjasama antara Malaysia dan China.
“Melangkaui aspek formal diplomasi, acara seperti ini membantu mengukuhkan hubungan antara individu, yang penting untuk kerjasama jangka masa panjang,” katanya.
-- BERNAMA