SHAH ALAM, 19 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor berhasrat meminda enakmen berkaitan Tabung Amanah Bencana Alam (TABA) bagi memudahkan penggunaannya dalam pengurusan bencana negeri, khususnya membabitkan infrastruktur cerun.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata setakat ini, TABA mempunyai dana RM90 juta dan tidak pernah digunakan sejak ditubuhkan pada 2011 kerana perlu dibentang dan diluluskan menerusi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menyukarkan pelaksanaan pengurusan segera.
“Negeri kita mempunyai TABA dan Tabung Amanah Bencana Negeri yang diuruskan dengan peruntukan tahunan oleh kerajaan negeri hasil dua dana iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atau Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan kira-kira RM13 juta dan kerajaan negeri RM12 juta.
“Pada masa kini Tabung Amanah Bencana Negeri mempunyai lebih kurang RM24 ke RM25 juta dan pengurusan bencana negeri biasanya diuruskan melalui tabung tersebut, bukan TABA,” katanya pada persidangan DUN Selangor di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Mohd Rafiq Mohd Abdullah (PN-Kuang) yang ingin tahu syarat memohon peruntukan TABA.
Amirudin berkata pindaan itu, antara lain mampu memperkasakan persediaan unit bencana daerah melibatkan pembelian aset berkaitan serta pelaksanaan projek infrastruktur sebagai langkah mitigasi.
Beliau berkata jika pindaan itu diluluskan, pihaknya bercadang menggunakan antara RM5 hingga RM10 juta untuk pengurusan cerun dahulu, susulan dapatan diterima mendapati perkara tersebut antara yang perlu diberi perhatian.
-- BERNAMA