EKONOMI

Kompleks R&D Lada Sarawak Akan Disiapkan Selepas Terima Peruntukan Baharu Daripada MOF

19/11/2025 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Projek Kompleks Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Lada di Sarawak yang telah lama terbengkalai akan disiapkan susulan kelulusan peruntukan baharu daripada Kementerian Kewangan (MOF) untuk menyambung semula kerja-kerja pembinaannya.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata projek itu telah hampir 80 peratus siap tetapi tidak dapat diteruskan selepas kontraktor sebelumnya menghentikan kerja-kerja tersebut menyebabkan baki kerja-kerja pembinaan tertangguh.

“Baru-baru ini, saya ada bercakap dengan Pengerusi Lembaga Lada Malaysia. Saya memberitahu beliau bahawa kita perlu menyiapkan kompleks ini kerana ia akan menjadi pusat R&D yang penting bagi pembangunan lada di Sarawak.

“Kita telah memohon bajet daripada Kementerian Kewangan dan ia telah diluluskan bagi menyiapkan kompleks ini. Apabila siap nanti, kompleks ini akan menjadi pusat R&D dan pengurusan serta apa-apa isu berkaitan pertanian lada dapat diselesaikan di situ,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Richard Riot anak Jaem (GPS–Serian) mengenai langkah kementerian menyantuni dan membantu pekebun kecil lada di Sarawak bagi mengembalikan kegemilangan industri penanaman lada yang kini semakin merosot.

Beliau berkata dalam mana-mana sektor perladangan, perkara paling penting ialah setiap pekebun kecil atau estet besar perlu melaksanakan amalan pertanian baik.

“Apabila diamalkan, ia akan menjadi prosedur operasi standard (SOP) atau disiplin yang mesti dipatuhi dan pembinaan kompleks itu penting bagi tujuan ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492563