Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi harian pada Rabu, disokong oleh aktiviti pembelian semasa harga murah selepas penjualan semalam walaupun prestasi bercampur-campur merentasi pasaran serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.83 mata atau 0.61 peratus kepada 1,623.89 daripada paras penutup 1,614.06 pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.62 mata kepada 1,613.44 dan bergerak dalam jajaran kecil sepanjang hari, aktiviti belian lewat telah mendorong ia ditutup pada paras tertinggi harian.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 572 berbanding 497, manakala 573 kaunter tidak berubah, 1,144 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 4.64 bilion unit bernilai RM2.96 bilion daripada 4.33 bilion unit bernilai RM3.20 bilion pada Selasa.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama kekal disokong pada paras semasa, menunjukkan minat belian berterusan apabila pasaran merosot.
Beliau berkata walaupun sentimen global tidak menentu disebabkan oleh kebimbangan bahawa kenaikan berterusan dalam saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) mungkin membentuk gelembung, kesannya terhadap Malaysia setakat ini dapat diuruskan dengan baik.
“Kami kekal berhati-hati terhadap risiko luaran ini kerana pergerakan mendadak dalam pasaran teknologi global boleh merebak ke rantau ini. Bagaimanapun, walaupun terdapat kebimbangan ini, kami mengekalkan pandangan positif terhadap pasaran tempatan.
“Penilaian ke atas Malaysia kekal menarik, keadaan domestik stabil dan pelabur terus menunjukkan keyakinan terhadap sektor utama. Kami menjangkakan FBM KLCI akan berada dalam lingkungan 1,620-1,650 untuk sepanjang minggu ini,” katanya kepada Bernama.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM9.93, Public Bank menokok tiga sen kepada RM4.28, CIMB melonjak 12 sen kepada RM7.57, IHH Healthcare naik lima sen kepada RM8.25, TNB tidak berubah pada RM13.18 dan CelcomDigi merosot lapan sen kepada RM3.39.
Bagi saham aktif, Zetrix AI meningkat 2.5 sen kepada 84.5 sen, Tanco naik dua sen kepada RM1.01, PMW International menambah setengah sen kepada 35 sen, Farm Fresh tidak berubah pada RM2.40, manakala Bumi Armada merosot dua sen kepada 28.5 sen.
Saham paling untung menyaksikan BLD Plantation menokok RM2.02 kepada RM12.78, United Plantations naik 96 sen kepada RM28, Mesiniaga menambah 25 sen kepada RM1.30 dan Bintulu Port meningkat 20 sen kepada RM5.30.
Antara saham paling rugi, Dutch Lady turun 70 sen kepada RM28.60, Fraser & Neave merosot 40 sen kepada RM32.60, Petronas Dagangan berkurangan 38 sen kepada RM21.12 dan Malayan Cement menguncup 22 sen kepada RM6.28.
Di papan indeks, Indeks FBMT 100 meningkat 58.42 mata kepada 11,799.74, Indeks FBM Emas menokok 55.34 mata kepada 12,025.30, Indeks FBM Emas Shariah pada 46.15 mata kepada 12,014.3, Indeks FBM ACE naik 10.65 mata kepada 4,922.75 dan Indeks FBM 70 menambah 26.72 mata kepada 16,812.39.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 106.91 mata kepada 8,225.53, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 105.47 mata kepada 18,444.06; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.18 mata kepada 165.33, manakala Indeks Tenaga turun 2.82 mata kepada 758.69.
Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.46 bilion unit bernilai RM2.34 bilion daripada 1.56 bilion unit bernilai RM2.54 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran melonjak kepada 2.47 bilion unit bernilai RM394.73 juta daripada 2.27 bilion unit bernilai RM381.29 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 711.02 juta saham bernilai RM232.33 juta daripada 506.73 juta saham bernilai RM186.67 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 287.63 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (311.30 juta), pembinaan (70.70 juta), teknologi (203.18 juta), perkhidmatan kewangan (65.20 juta), hartanah (171.16 juta), perladangan (60.59 juta), REIT (21.54 juta), dana tertutup (24,800), tenaga (109.59 juta), penjagaan kesihatan (83.07 juta), telekomunikasi dan media (30.10 juta), pengangkutan dan logistik (28.64 juta), utiliti (206.60 juta) serta amanah perniagaan (104,200).
-- BERNAMA