KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) --Yayasan Pengaman Malaysia bersama British Graduate Association of Malaysia (BGAM) menganjurkan program amal Charity Drive to Phuket bagi meningkatkan kesedaran dan mengumpul dana untuk pendidikan kanak-kanak autisme.
Pergerakan konvoi tujuh hari itu, yang bermula hari ini, membabitkan 32 peserta dengan lapan kenderaan menuju ke Phuket, Thailand dan akan melawat institusi berkaitan autisme di Perak serta Perlis.
Timbalan Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia Tan Sri Hussin Ismail berkata lawatan ke Perlis penting kerana institusi di negeri itu menawarkan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional kepada pelajar autisme berumur 15 hingga 21 tahun, selain menyediakan latihan profesional sebagai persediaan untuk masa depan mereka.
Beliau berkata ia bermatlamat membantu belia autistik berdikari, menjana pendapatan dan berintegrasi dalam komuniti.
“Kerjasama ini diharap mendapat sokongan masyarakat bagi menggalakkan lebih ramai pihak tampil menyumbang kepada keperluan anak-anak autistik,” katanya kepada pemberita selepas pelepasan konvoi itu di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Komander Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia Datuk Noor Sham Md Jani dan Presiden BGAM Datuk Kamarudin Md Ali.
Kamarudin pula berkata konvoi juga dimanfaatkan untuk memperkenalkan semula Dana Pendidikan BGAM-Tun Hanif Omar sebagai tanda penghormatan kepada bekas Presiden BGAM itu.
-- BERNAMA